Berita Harian

Riyadh gesa bantu golongan lemah

Arab Saudi minta umat Islam sebar kasih sayang, tunjuk belas kasihan

-

Imam di Masjidilha­ram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah serta ribuan lagi masjid di Arab Saudi menggesa umat Islam mencontohi pengorbana­n agung yang ditunjukka­n Nabi Ibrahim dan menjalani kehidupan yang diredai Allah.

Jutaan umat Islam, termasuk wanita dan kanak-kanak hadir ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidiladha yang disambut di seluruh Arab Saudi, kelmarin.

Di Masjidilha­ram, solat sunat itu diimamkan Sheikh Faisal Ghazawi dan dalam khutbahnya beliau menyeru umat Islam untuk terus bersatu dan mengelak perpecahan serta membuang perasaan benci.

Laman web Saudi Gazette melaporkan, Sheikh Faisal juga menggesa umat Islam menyebarka­n kasih sayang dan menunjukka­n belas kasihan, terutama kepada golongan lemah dalam masyarakat.

Beliau juga menegaskan bahawa ibadat haji adalah satu untuk mengukuhka­n keimanan kepada Tuhan yang satu.

Sementara itu, di Masjid Nabawi pula, solat sunat Aidiladha diimamkan Sheikh Salah Al-bodair dan turut dihadiri Gabenor Madinah, Putera Faisal Bin Salman dan pegawai kanan yang lain.

Di Riyadh, solat sunat Aidiladha di Masjid Imam Turki Bin Abdullah diimamkan oleh Sheikh Abdullah Bin Abdulaziz Al-asheikh.

Rohingya gembira

Dalam perkembang­an sama, hampir sejuta pelarian Rohingya menyambut Aidiladha, semalam di kem penempatan sementara yang terbesar dunia, iaitu hampir setahun sejak kezaliman tentera Myanmar mengusir mereka keluar dari Rakhine.

Mereka bersolat di masjid yang dibina sendiri di selatan Bangladesh untuk menyambut hari raya korban itu di kawasan padang becak sekitar kawasan perkhemaha­n yang padat dengan penduduk itu.

Bagi majoriti pelarian ini, sambutan Aidiladha adalah pertama sejak penyingkir­an mereka secara ganas dari bumi sendiri setahun lalu. Amerika Syarikat dan pegawai dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggap ia sebagai satu operasi ‘pembersiha­n etnik’.

Mohammad Jasim, 16, pelarian yang lahir dan dibesarkan di kem Kutupalong berterima kasih anggota keluarga dan saudara maranya melarikan diri daripada keganasan itu, tahun lalu untuk menyertai keluargany­a di Bangladesh.

“Sambutan Aidil Adha tahun ini lebih baik berbanding beberapa tahun lalu. Semua saudara saya berada di sini dan kami menikmati saat gembira ketika ini,” katanya.

Di Rabat, Raja Maghribi, Raja Mohammed Vi berkenan mengampunk­an seramai 188 orang yang ada kaitan dengan gerakan bantahan ‘Hirak’ sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, kata Majlis Kebangsaan Hak Asasi Manusia.

Majlis melaporkan pengampuna­n Raja itu dikurniaka­n kepada 11 aktivis yang menjalani hukuman penjara dua hingga tiga tahun di penjara kerana mengambil bahagian dalam bantahan ‘Al-hirak al-shaabi’ atau ‘Gerakan Populis’ yang menggegark­an wilayah utara Rif pada 2016 hingga 2017. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia