Berita Harian

‘Tak pernah bincang isu kosong kerusi’

-

Kuala Lumpur: Keputusan mengosongk­an kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa tidak pernah dibincang bersama kepemimpin­an tertinggi parti itu.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, mendakwa tiada sesiapa pun dalam kalangan pimpinan parti mengetahui mengenai perkara itu sebelum diumumkan secara mengejut oleh calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Jumaat lalu.

Tian Chua mendakwa Rafizi tidak berhak membuat pengumuman itu, memandangk­an keputusan mengosongk­an kerusi Parlimen dan Ahli Parlimen mana perlu berbuat demikian tidak pernah dibincang dalam kalangan pimpinan PKR.

“Siapa Rafizi untuk umum? (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) terpaksa mengesahka­n kerana Rafizi sudah umum. Kita pun tak pasti sama ada Dr Wan Azizah tahu atau tidak kerana Rafizi yang umum dulu.

“Isunya ialah tiada sesiapa pun tahu ada langkah sebegitu (mengosongk­an kerusi Parlimen tertentu), sama seperti ‘Langkah Kajang’, tak ada siapa yang tahu.

Tak boleh sorok

“Ia sepatutnya dibincang dalam peringkat pimpinan parti, tak boleh dibuat secara sorok-sorok,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Tian Chua berkata demikian sebagai mengulas entri menerusi akaun Twitter miliknya kelmarin, berhubung ‘seseorang’ yang melantik diri sendiri sebagai ‘kingmaker’ untuk setiap perkara.

Dalam tweet sama, Tian Chua turut mempersoal­kan berapa kali individu berkenaan mahu mengheret parti ‘ke kancah lumpur’ seperti yang berlaku ketika Langkah Kajang.

Jumaat lalu, Rafizi dalam siri jelajah kempen pemilihan parti itu di Kelantan, mendedahka­n satu kerusi Parlimen akan dikosongka­n minggu depan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Susulan itu, Dr Wan Azizah ketika ditemui kelmarin, mengesahka­n satu kerusi akan dikosongka­n untuk Anwar, namun enggan mendedahka­n Ahli Parlimen mana akan berbuat demikian.

Tian Chua berkata, pengumuman penting itu sepatutnya dibuat selepas dibincang bersama pimpinan PKR serta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Majlis Presiden PH perlu dimaklumka­n kerana Anwar akan menjadi ketua PH dan Perdana Menteri, ini bukan perkara remeh dan kita tak boleh perkecilka­n peranan Anwar.

“Dia (Rafizi) tidak berhak buat pengumuman dan tidak berhak pergi merata tempat seolaholah dia seorang yang buat keputusan untuk segala-galanya,” katanya.

Ditanya sama Rafizi adalah dalang di sebalik langkah terbaru itu, Tian Chua secara sinis berkata, semua perkara dan keputusan dalam PKR dirancang bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

“Dia mahu tunjukkan kepada dunia seolah-olah semua dia yang rancang. Jika lihat balik kenyataann­ya, dia kata dia yang rancang Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PH ditubuhkan, serta supaya (bekas Menteri Besar Selangor) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijatuhkan.

“Sekarang ini dia juga rancang supaya peralihan Perdana Menteri itu untuk Anwar. Semua dia rancang kalau nak ikut hujah dia,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, turut mengesahka­n kepemimpin­an tertinggi PKR belum mengadakan perbincang­an mengenai kerusi Parlimen yang akan dikosongka­n bagi memberi laluan kepada Anwar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia