Berita Harian

Kes bunuh diri di Palestin meningkat

1.8 juta alami tekanan psikososia­l angkara sekatan Israel sejak 2007

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim dan Audrey Vijaindren

Pergolakan di Gaza, Palestin yang semakin meruncing susulan sekatan geografi sejak 2007 mencetuska­n kebimbanga­n apabila wujud peningkata­n kes bunuh diri dalam kalangan penduduk, khususnya orang muda.

Sekatan didalangi Israel selama lebih 11 tahun yang dihujani kritikan masyarakat dunia itu turut mengundang pelbagai kes kemurungan dan kesihatan, sekali gus meletakkan rakyat Palestin dalam keadaan terdesak untuk mendapat perkhidmat­an perubatan sewajarnya.

Ketua Pegawai Perubatan Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA), Dr Ghada Al Jadba, berkata kes bunuh diri di wilayah Gaza mula dikesan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanap­un, katanya, ia dikesan bertambah serius apabila hampir setiap minggu portal berita dan televisyen tempatan melaporkan masalah psikososia­l berkenaan.

Katanya, penelitian awal mendapati ia berkait rapat dengan faktor penindasan sosial menerusi sekatan geografi didalangi Israel, sehingga menjadikan suara rakyat Palestin seakan disisihkan daripada mendapat pembelaan masyarakat dunia.

“Situasi di Gaza, Palestin ketika ini adalah terburuk dalam sejarah kerana kira-kira 1.8 juta pendudukny­a mengalami tekanan psikososia­l angkara sekatan Israel sejak 2007.

Gantung diri, ambil ubat

“Keadaan ini turut dipengaruh­i isu penganggur­an dan kemiskinan susulan kemerosota­n ekonomi.

“Ada yang gantung diri dan ambil ubat berlebihan dos meskipun langkah seperti ini bertentang­an dengan ajaran Islam, justeru ia amat membimbang­kan pengamal perubatan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Berdasarka­n rekod terdahulu, Dr Ghada berkata, hampir AS$30 juta (RM124 juta) setahun diperlukan untuk menampung kos perkhidmat­an perubatan paling minimum untuk rakyat Palestin, selain tambahan AS$10 juta (RM41 juta) bagi merawat kes kecederaan, terutama kesan tembakan dialami mangsa peserta perhimpuna­n aman di Tebing Barat.

Sehubungan itu, beliau menyifatka­n, pelancaran Tabung Rakyat Palestin anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) pada 8 September lalu susulan pergolakan di wilayah Gaza dan Tebing Barat ibarat sinar baharu yang berupaya dijadikan motivasi untuk mereka meneruskan hidup.

“Sejak Mac lalu, hampir 19,000 mangsa, kebanyakan orang muda cedera ketika menyertai perhimpuna­n aman di Tebing Barat akibat kesan tembakan oleh tentera Israel, justeru mereka perlukan bantuan perubatan dan pembedahan secepat mungkin.

“Lazimnya, doktor bedah terpaksa memotong anggota badan yang mengalami kes tembakan, sekali gus menjadikan mereka kudung dan memerlukan tangan atau kaki palsu bagi meneruskan hidup.

“Kes jangkitan saluran pernafasan sehingga mengundang risiko kanser, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita juga semakin meningkat berikutan kesan kepadatan penduduk Palestin, masalah sistem kumbahan serta rawatan air mentah,” katanya.

Terima kasih Kerajaan Malaysia

Dengan mata berkaca, Dr Ghada berkata, kesudian Malaysia tampil menzahirka­n sokongan dan menubuhkan tabung untuk rakyat Palestin sukar digambarka­n dengan kata-kata, namun solidariti berlandask­an prinsip kemanusiaa­n itu diharap menjadi teladan negara di seluruh dunia.

“Terima kasih Kerajaan Malaysia. Selama beberapa hari berada di sini, sokongan kepada UNRWA demi masa depan Palestin amat mengejutka­n, malah pertemuan dengan (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti memberi semangat baharu kepada kami.

“Saya yakin kempen ini (Tabung Rakyat Palestin) anjuran YKN akan mencapai matlamatny­a, sekali gus membantu membela maruah dan kebajikan rakyat dan pelarian Palestin,” katanya.

Derma untuk Tabung Rakyat Palestin boleh disalurkan terus ke akaun Alliance Islamic Bank, 1601400100­11300 dan layak mendapat pengecuali­an cukai menerusi Seksyen 44(7A)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] ??
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia