Seramai 240 pelajar sertai EEP
Program kecekapan tenaga pupuk minat pelajar terhadap STEM
l
Bagi memupuk penghargaan terhadap kecekapan dan penjimatan tenaga dalam kalangan generasi muda, Persatuan Gas Malaysia (MGA) dengan kerjasama Petrosains dan Kementerian Pendidikan menganjurkan acara tahunan Program Kecekapan Tenaga (EEP) bagi tahun ke lima berturut-turut.
Program itu disertai 240 pelajar dari enam buah sekolah menengah yang menghadiri program selama dua hari di Petrosains Discovery Centre, baru-baru ini.
Pelajar diajar menggunakan mikro:bit iaitu alat pendidikan yang menjadikan koding lebih mudah dan diguna untuk reka cipta.
Inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu direka khusus menggunakan pendekatan pembelajaran abad ke-21 untuk mengajar pelajar membuat koding bagi menghasilkan projek yang praktikal dan cekap tenaga seperti jadual pintar, pengesan asap dan penyiram air automatik.
Presiden MGA, Encik Hazli Sham Kassim, berkata pihaknya menyedari betapa pentingnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai tenaga, bukan hanya buat pembuat dasar dan badan korporat, tetapi juga dalam kalangan pelajar kerana mereka adalah peneraju masa depan negara.
“Program ini menawarkan platform kepada kami untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar, memberi peluang untuk mereka belajar, membuka minda dan mencetus idea-idea baharu, khususnya berkaitan dengan tenaga yang merupakan komponen kritikal untuk kemajuan negara,” katanya.
Sepanjang penganjurannya, EEP telah disertai 4,000 pelajar dari 60 buah sekolah yang menjalankan pelbagai program, termasuk asas mekanisma menerbangkan pesawat udara tanpa pemandu, demonstrasi sains, pendedahan mengenai sumber tenaga dan sistem bekalan elektrik di Malaysia serta perbincangan mengenai amalan penjimatan tenaga.
Tahun ini menampilkan sesi perkongsian yang disertai oleh ahli MGA sendiri seperti PETRONAS dan H Rosen. Mentor yang terbabit berkongsi pandangan mengenai kecekapan tenaga dan peranan penting gas asli dalam mewujudkan campuran tenaga mampan.
Mereka juga berkongsi pengalaman peribadi bagaimana pembelajaran STEM boleh menggalakkan inovasi dan pemikiran di luar kotak yang kelak akan membantu membentuk kerjaya yang berjaya.
Mengulas mengenai program itu, Guru ICT SMK Keramat Wangsa, Encik Mohd Fahmi, berkata, me-ngambil bahagian dalam EEP tahun ini merupakan pengalaman yang sangat bernilai untuk pelajarnya.
Katanya, program itu mendedahkan pelajar kepada penggunaan koding bagi menghasilkan penyelesaian digital untuk situasi kehidupan sebenar.