Berita Harian

Seorang maut, 4 cedera kereta gagal dikawal elak kerbau

-

Kuala Berang: Seorang anggota tentera maut, manakala empat rakannya cedera selepas kereta dinaiki gagal dikawal ketika mengelak kerbau di Lebuhraya Pantai Timur II (LPT2) dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi di Kilometer 409.7 berhampira­n susur keluar Ajil-telemong itu, Nur Shahrul Romli, 21, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superinten­dan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa yang bertugas di Markas Tentera Darat Kementeria­n Pertahanan, bersama empat rakan yang juga anggota tentera, dalam perjalanan pulang bercuti ke Kelantan.

Gagal dikawal

Beliau berkata, mereka bertolak dari Kem Sirajuddin Negeri Sembilan sebelum kereta Proton Waja dipandu Nur Shahrul gagal dikawal ketika mengelak kerbau di lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai terkejut dengan kehadiran kerbau itu dan cuba mengelak, sekali gus menyebabka­n kenderaan dipandunya terbabas ke kiri jalan lalu melanggar penghadang jalan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Adli berkata, penumpang yang cedera dikenal pasti sebagai Mohd Fazrin Mohd Aini, 23; Muhammad Aiman Abd Wahab, 21; Wan Muhammad Firdaus Wan Yahya, 21, dan Muhamad Hasnu Nawawi, 22.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia