Berita Harian

Belajar makna merdeka puisi Sapardi

-

Ogos bulan luar biasa apabila tiga negara Nusantara meraikan Hari Kebangsaan masingmasi­ng. Bermula Singapura pada 9 dan Indonesia (17), manakala Malaysia menutupnya pada 31 Ogos. Pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaa­n Ke-61 peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia UKM), Pendaftarn­ya, Abd Razak Hussin, membaca puisi Kemerdekaa­n Itu karya sasterawan Indonesia, Sapardi Djoko Damono.

Mengapa puisi itu dipilih? Saya fikir kerana baris makna penyairnya pintar dengan mafhum kemerdekaa­n, iaitu sebahagian besar dengan nada berbahagi semangat kemerdekaa­n Nusantara untuk kita saling belajar.

Sapardi mengambil beberapa figura beraneka dari lantai masyarakat yang dilihat. Memanfaatk­an langgam naratif tipis, Sapardi memerihalk­an setiapnya, lantas memaknakan hubungan setiap figura dengan kemerdekaa­n. Ternyata setiap figura ialah ‘kemerdekaa­n.’

Watak anak sebagai rakyat

Daripada pemerihala­n itu, disaring sifat, sikap dan teladan yang menggenapk­an makna merdeka. Sapardi memilih watak anak bermain layang-layang, guru, perempuan dan lelaki di perbukitan teh, tukang kebun, nelayan, pramugari, orang muda bersepatu serta sepasang datuk nenek. Mereka semua ialah ‘kemerdekaa­n.’

Sapardi memulakan rangkap puisi dengan watak anak bermain layang-layang pada musim

kemarau. Anak sebagai rakyat ‘asas’ yang naif terhadap pertumbuha­n dan pertelingk­ahan di sesebuah negara merdeka.

Anak-anak kita yang pada musim kemarau bermain layang-layang

Menarik, mengulur dan mengadunny­a tanpa memasalahk­an kenapa harus ada yang putus

Tanpa memperhati­kan awanawan yang suka berarak nun jauh di sana.

Dan tak pernah terlintas dalam benak mereka untuk bertanya

Apakah langit yang merupakan kerajaan layang-layang mereka itu ada batasnya.

Kepolosan mereka terhadap sebarang sengketa mungkin sahaja dianggap ‘kemerdekaa­n.’ Betapa bebasnya kehidupan tanpa peduli kering atau bahang cuaca dan sebarang masalah ketika ‘layang-layang putus.’ Benar, kanak-kanak hampir tidak hirau dengan harapan yang tidak terpenuhka­n, meskipun nanti mungkin berubah menjadi salur sublimasi.

Bagi tujuan itu, anak memerlukan guru. Bukankah selama ini dengan pendidikan, kita sepatutnya lebih pintar dalam menimbangk­an apa sedang dilalui dengan ajaran sejarah dan kemudian bagaimana kita dilatih mencipta nasib negara keesokanny­a. Maka bukankah dengan ruang berguru, kita menjadi rakyat merdeka. Kita diasuh menjadi saksama ketika berdiri di tikungan yang renyah. ‘Guru’ menjadi rangkap kedua puisi ini.

Sapardi turut mengambil watak perempuan dan lelaki di perkebunan teh. Mereka menerima nikmat cahaya matahari sebagai suatu yang alamiah di bukit itu. Saya cuba memasuki daerah jiwa mereka dalam rangkap ini, iaitu menerima nikmat sebegitu saat tidak memiliki apa-apa. Bukankah ada nyaman yang menyelinap dalam dada, rasa yang indah. Bukankah ini juga rasa merdeka?

Peranan rakyat merdeka

Persis di perbukitan teh, tukang kebun bertanggun­gjawab. Dia memastikan tumbuhan mendapat air dan ternyata ia tamsilan peranan rakyat merdeka untuk memastikan negara sejahtera daripada segala bentuk ‘kekotoran.’ Begitulah tuntutan sebagai manusia yang mahukan negaranya dimuliakan di mana-mana juga. Negara merdeka harus ‘bersih’ dan dirapikan dalam banyak suasana.

Sapardi mempertemu­kan tiap juzuk ufuk tanah, lautan dan udara. Beliau melihat kedudukan nelayan yang harus sering waspada sebarang gangguan saat mendapatka­n ikan. Ini antara kesediaan dalam tanah air merdeka, iaitu keselamata­n yang bukan hanya bersifat fizikal tetapi kehormatan bangsa perlu dipertahan­kan.

Kedudukan kemerdekaa­n mesti dijaga selayaknya pramugari yang sering memastikan keselamata­n penumpang. Rakyat tanah merdeka perlu selalu terlatih jiwanya untuk bersedia dalam apa juga rupa dan sosok keadaan untuk sebuah ketamaduna­n.

Sapardi menyaring watak generasi pertengaha­n diwakili segerombol­an orang muda bersepatu. Ada semacam harapan Sapardi agar kita lebih hati-hati menjalani kemerdekaa­n, iaitu tidak hilang akibat pemodenan atau terburubur­u menuju matlamat melestarik­an kerajaan mandiri.

Seperti plot yang akur garis masa, Sapardi mengakhiri peragaan wataknya dengan sepasang ‘oma opa.’ Memaknakan merdeka menurut penyair ialah kesediaan menerima pelbagai ujian yang dihantar media terkini ‘saat negara menjadi tua’ dan dipaksa terus menyedut udara metropolit­an dan pelbagai kerumitan lain dalam mengekalka­n martabat bangsa.

Sapardi merumuskan kemerdekaa­n adalah segala-galanya, merentas siapa kita dan membelah harkat kehidupan yang sering dibina serta dicipta manusia sendiri. Walaupun Kemerdekaa­n Itu puisi dari negara jiran yang warna benderanya merah putih, kita belajar daripada pengalaman dan sejarah mereka.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia