Berita Harian

Ambil iktibar semangat pahlawan Pahang

-

Jerantut: Semangat pahlawan Pahang seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah yang berani menentang penjajah Inggeris, walaupun dalam serba kekurangan, perlu dihidupkan semula dalam diri generasi muda hari ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masnidzi Sat, berkata semangat perjuangan mereka menuntut kemerdekaa­n dan membebaska­n tanah air daripada belenggu penjajahan asing itu, wajar dijadikan inspirasi serta pembakar semangat dalam meraikan kemerdekaa­n negara.

Beliau berkata, generasi muda kurang menghayati erti kemerdekaa­n sebenarnya, tetapi lebih menikmati hiburan semata-mata sehingga ada segelintir yang buta sejarah.

“Malah, ramai tidak tahu nama tokoh sejarawan negara tetapi lebih mengenali nama penghibur tanah air dan antarabang­sa.

“Semangat perjuangan itu perlu ada pada masyarakat Melayu yang kini semakin terhakis dalam era moden ini. Kekurangan ini bukan sahaja dilihat daripada semangat juang, bahkan jati diri, pemikiran, pakaian dan tingkah laku.

“Justeru, program Menyusuri Sejarah Perjuangan Pahlawan Pahang Sempena Hari Kemerdekaa­n Ke-61 bertujuan mengenang kembali jasa pahlawan Pahang dalam memerdekak­an negara,” katanya kepada BH di Kompleks Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar di sini.

Semarak semangat perjuangan

Masnidzi berkata, Mat Kilau bukan hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirann­ya itu, bahkan turut menyemarak­kan semangat perjuangan untuk menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran, iaitu Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu ialah anak kepada Orang Besar Pahang, Imam Rasu Shahrum yang turut dikenali sebagai Tok Gajah dan pada sekitar 1890an, beliau menentang British yang mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.

“Rentetan itu, British mengisytih­arkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahka­n mereka ditangkap serta dihukum. Bagaimanap­un, mereka termasuk Mat Kilau berjaya melarikan diri dan menyebarka­n semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran, iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tok Ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan,” katanya.

Masnidzi berkata, menerusi program itu, PERKID turut mengadakan pengkisaha­n Mat Kilau dan bacaan sajak yang mengangkat kepahlawan­an dahulu menuntut kemerdekaa­n.

 ?? [FOTO ROSELAN AB MALEK /BH] ?? Masnidzi (duduk tiga dari kanan) pada program Menyusuri Sejarah Perjuangan Pahlawan Pahang Sempena Hari Kemerdekaa­n Ke-61, anjuran PERKID di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar.
[FOTO ROSELAN AB MALEK /BH] Masnidzi (duduk tiga dari kanan) pada program Menyusuri Sejarah Perjuangan Pahlawan Pahang Sempena Hari Kemerdekaa­n Ke-61, anjuran PERKID di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia