Anwar ulangi pendirian tak tergesa-gesa jadi PM
Ketua Umum PKR nafi peralihan jawatan nombor satu lebih awal
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi Perdana Menteri kerana negara ketika ini memerlukan kestabilan dan seorang pemimpin yang kuat.
Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau mahukan proses peralihan jawatan nombor satu itu diadakan lebih awal atau lewat.
“Proses peralihan yang dipersetujui ialah (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menguruskan hal ehwal negara dan kami menyokong beliau. Ini yang penting.
“Saya tidak fikir yang kami patut tergesa-gesa melakukannya kerana beliau (Dr Mahathir) memainkan peranan amat penting demi negara… saya mahu memastikan beliau efektif dalam kedudukannya,” katanya.
Anwar ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Dialog Pembiayaan S Rajaratnam, program penting dalam Sidang Kemuncak Singapura 2018 di Hotel Shangri-la di sini, semalam.
Mengenai sama ada beliau bimbang bahawa UMNO telah menghubungi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bergabung, Anwar yang memilih bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson bagi membuka laluan untuk kembali aktif dalam politik, berkata beliau tidak bimbang.
Tidak bimbang
“Kenapa bimbang? Mereka boleh hubungi mana-mana anggota gabungan Pakatan (Harapan) (PH). Ia bukan satu masalah,” katanya.
Beliau mengulas laporan berita bahawa pengamal media veteran Datuk A Kadir Jasin mendakwa wujud desas-desus pemimpin UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu Dr Mahathir selaku Pengerusi BERSATU untuk membincangkan penggabungan UMNO-BERSATU.
“Yang jelas, mereka (pemimpin UMNO) tidak lagi bercakap mengenai UMNO, tetapi tentang PEKEMBAR… iaitu nama pendek UMNO dalam bahasa Melayu.
“Desas desus itu, ialah mereka mahu menerokai kemungkinan menggabungkan PEKEMBAR dengan BERSATU
untuk membentuk PEKEMBAR BERSATU,” mengikut catatan Kadir dalam blog peribadinya.
Berhubung sama ada beliau mengalu-alukan UMNO untuk menyertai PH, Anwar berkata:
“Pastinya bukan sekarang. Kami juga tidak pernah menimbangkan perkara ini. Mereka (UMNO) bersama-sama PAS pagi ini (semalam) pada Muktamar PAS.
Ditanya jika perkara itu boleh berlaku pada masa depan, Anwar menjawab: “... kes pada masa depan Que Sera Sera (whatever will be, will be
(apa pun yang akan berlaku, akan berlaku). Tetapi pada masa ini, pastinya tiada dalam pertimbangan.”
Kepada soalan sama ada anaknya Nurul Izzah atau isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang ketika ini ialah Timbalan Perdana Menteri, patut memegang jawatan Kabinet apabila beliau menjadi Perdana Menteri nanti, Anwar berkata: “Pendirian kami ialah Dr Wan Azizah perlu meletak jawatan apabila saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri.”
“Perkara ini sudah diumumkan sejak awal lagi dan bagi Nurul Izzah, kita akan lihat apa kedudukannya. Saya tidak tahu dan tidak mahu buat spekulasi. Apa yang penting sekarang ialah Dr Wan Azizah tidak akan berkhidmat dalam Kabinet. Ini yang penting,” katanya.
Proses peralihan yang dipersetujui ialah (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menguruskan hal ehwal negara dan kami menyokong beliau. Ini yang penting” Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR