Suspek kejadian bunuh kucing botakkan kepala
Ubah penampilan wajah elak dikesan polis
Seorang daripada dua suspek yang berjaya ditahan kerana disyaki membunuh seekor kucing bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi, dipercayai cuba mengubah penampilan rupa bagi mengelakkan diri daripada dikenali ketika diburu polis.
Ketika ditahan di sekitar kawasan Gombak oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, awal pagi kelmarin, suspek berkenaan didapati sudah membotakkan kepala dan mencukur bersih mukanya.
Suspek itu dipercayai berbuat demikian susulan tindakan polis mendedahkan gambar tiga lelaki dikehendaki bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan.
Bagaimanapun, langkah suspek itu gagal menghalang polis daripada menjejakinya sebelum direman hingga esok. Selain suspek itu, polis dilaporkan berjaya menahan seorang lagi lelaki terbabit di sekitar Gombak pada awal pagi kelmarin, yang juga direman hingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Masih diburu
Seorang lagi lelaki yang turut dirakam berada di dobi terbabit ketika kejadian, masih diburu polis.
Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki tergamak membunuh seekor kucing terbiar yang sedang bunting, dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi di Taman Gombak Ria, Selasa lalu.
Perbuatan kejam kira-kira jam 12.30 tengah malam itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi terbabit sebelum kejadian dikongsikan Persatuan Haiwan Malaysia.
Melalui rakaman berdurasi dua minit 50 saat itu, dua lelaki yang juga pelanggan dobi berkenaan dilihat memasukkan kucing terbabit ke dalam mesin pengering.
Mereka kemudian beredar sambil membawa baju sudah dibasuh, namun datang semula beberapa saat kemudian dan memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering itu.
Kedua-duanya meninggalkan kedai berkenaan sebaik menekan butang mengaktifkan mesin pengering mengandungi kucing betina terbabit, sebelum bangkai haiwan itu ditemui seorang pelanggan dalam keadaan berlumuran darah.