Berita Harian

JAWATANKUA­SA PEMILIHAN PUSAT PKR DAKWA ADA PIHAK MAHU SABOTAJ

-

Sungai Petani: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, mendakwa kekecohan pemilihan PKR Kedah kelmarin dipercayai sengaja dirancang pihak tertentu, termasuk pemimpin parti yang tidak berpuas hati.

Calon Ketua Cabang PKR Sungai Petani itu berkata antara situasi dilaporkan adalah kehadiran pemimpin tertentu bersama kumpulanny­a yang membuat kekecohan pada pemilihan Cabang PKR Jerai di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hwa, Gurun.

Katanya, kehadiran pemimpin yang tidak bertanding di Cabang PKR Jerai pada jam 2.45 petang itu seakan disengajak­an apabila mereka turut mencetuska­n kekecohan dengan merosakkan peralatan di dalam pusat pemilihan.

“Awalnya berlaku masalah teknikal pada sistem eundi di Cabang PKR Jerai, namun sistem kembali boleh digunakan dan Pengerusi Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din meminta pemilihan diteruskan dan proses pemilihan berjalan seperti biasa.

Rosak peralatan

“Bagaimanap­un, sekitar jam 2.45 petang, ada sekumpulan individu bertindak membuat kekecohan di pusat mengundi dengan menghalau pengundi serta merosakkan peralatan di dalam pusat mengundi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Johari berkata, beliau yang berada di tempat kejadian melihat sendiri pemimpin terbabit bersama kira-kira 60 hingga 70 penyokong mereka mencetuska­n kekecohan berkenaan.

“Saya tidak faham kenapa pemimpin tidak bertanding di cabang itu boleh berada di pusat pemilihan dan menimbulka­n kekecohan.

“Saya yakin situasi ini ada kena mengena dengan kekecohan yang turut berlaku di pemilihan di Cabang PKR Sungai Petani dan pergaduhan yang berlaku di Cabang PKR Merbok,” katanya.

Beliau yang turut bertanding jawatan Naib Presiden PKR meminta JPP menyiasat kejadian itu dan memastikan proses pemilihan selepas ini berjalan lancar.

“Apa yang berlaku adalah satu perlakuan luar jangkaan, apabila kita tubuhkan parti ini pada 1999 dan sebagai pemimpin yang membawa parti ini ke Kedah, saya tidak pernah mimpikan perkara ini terjadi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia