Berita Harian

Lembaran baharu dasar luar Malaysia

PM sampaikan ucapan sesi Debat Umum berkaitan isu antarabang­sa, globalisas­i

- Oleh Nasharuddi­n Muhammad dan Mohd Husni Mohd Noor cnews@nstp.com.my

Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sesi Ke-73 Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, mulai esok hingga Sabtu ini, akan membuka lembaran baharu berhubung dasar luar Malaysia selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata walaupun lawatan kerja itu bukan julung kali bagi Dr Mahathir ke UNGA, ia yang pertama sebagai Perdana Menteri ketujuh dan mengetuai kerajaan baharu.

Katanya, Perdana Menteri akan menyampaik­an ucapan pada sesi Debat Umum dengan inti pati dijangka berkaitan isu antarabang­sa dan globalisas­i, sekali gus menjadi butiran penting berkaitan dasar luar baharu negara dalam era Malaysia Baharu, termasuk terus mempertaha­nkan pendirian negara yang berprinsip mengenai isu antarabang­sa.

Tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini adalah Making the United Nations Relevant to All People: Global Leadership and Shared Responsibi­lities for Peaceful, Equitable and Sustainabl­e Societies.

Dasar Pandang Ke Timur

Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka memberi penekanan baharu terhadap Dasar Pandang Ke Timur supaya ia dihidupkan semula selain melihat semula ke arah benua Afrika.

“Selain itu, ada dua elemen baharu yang akan dilihat iaitu hak asasi manusia dan matlamat pembanguna­n mampan (SDG). Jadi, itu adalah parameter kepada dasar baharu berkenaan.

“Kita tidak mahu bercakap mengenai apa yang lepas tetapi yang penting, kerajaan baharu mahu keseimbang­an hubungan dengan semua negara termasuk negara kuasa besar.

“Kita akan melihat (semula) benua Afrika dengan lebih serius berbanding kerajaan terdahulu,” katanya pada taklimat media sempena lawatan berkenaan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Ditanya sejauh mana dasar luar seperti konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) tersasar ketika era kerajaan terdahulu, Saifuddin berkata, prinsip asas dasar luar Malaysia kerajaan baharu harus kekal termasuk ZOPFAN.

Katanya, kerajaan ingin berkawan dengan semua negara, termasuk meletakkan ASEAN di tangga teratas dalam perhubunga­n itu.

Pada lawatan itu, delegasi Dr Mahathir akan disertai isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Saifuddin; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Setiausaha Kementeria­n Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim serta Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Bincang keadaan Malaysia

Saifuddin berkata, Perdana Menteri juga akan mengadakan dialog dengan ahli United States Council on Foreign Relations yang akan membincang­kan keadaan di Malaysia serta hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat serta negara Asia.

Perdana Menteri juga akan menyertai Bloomberg Global Business Forum dalam sesi perbincang­an panel bertajuk, Emerging Global Trade Relationsh­ips serta menyampaik­an ucapan mengenai Insights on How Malaysia Will Meet the Challenges Confrontin­g the Security, Prosperity and Sustainabi­lity in Asia di Asia Society.

Dr Mahathir juga akan menyampaik­an ucaptama pada majlis Achieving SDGS: Unleashing the Potential of Islamic Finance di Ibu Pejabat PBB yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC), Program Pembanguna­n PBB (UNDP) dan Bank Pembanguna­n Islam (IDB).

Saifuddin pula akan menghadiri beberapa mesyuarat dan persidanga­n yang diadakan sempena Sesi Ke-73 UNGA, antaranya Nelson Mandela Peace Summit; High-level Meeting of the Group of Friends of Mediation; dan Ministeria­l Meeting of the UN Alliance of Civilizati­ons.

Beliau juga akan menyertai pelbagai mesyuarat peringkat menteri membabitka­n ASEAN, Komanwel, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Group of 77 (G77).

“Tentunya saya akan mengambil kesempatan ini untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat bagi membincang­kan isu dua hala, serantau dan antarabang­sa yang berkepenti­ngan bersama,” katanya.

Mohamad pula dijadual menghadiri High-level Event on Action for Peacekeepi­ng, manakala Dr Dzulkefly akan menghadiri High-level Meeting on the Fight Against Tuberculos­is dan High-level Meeting on the Prevention and Control of Noncommuni­cable Diseases.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Dr Mahathir disambut oleh Pegawai Pejabat Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia ke United Kingdom ketika tiba di London, kelmarin.
[FOTO BERNAMA] Dr Mahathir disambut oleh Pegawai Pejabat Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia ke United Kingdom ketika tiba di London, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia