Berita Harian

Saya terima keputusan mahkamah: Pengasas

-

Kota Bharu: “Saya menerima keputusan mahkamah dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian Allah,” kata pengasas Maahad Tahfiz Al-hashimi, Datuk Adnan Hashim.

Ia susulan keputusan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, memerintah­kan maahad tahfiz di Kuala Krai itu membayar ganti rugi am dan khas kerana kecuaian berjumlah RM4.3 juta kepada bekas pelajarnya yang lumpuh akibat kemalangan pada Jun tahun lalu.

Menerusi rakaman video dimuat naik dalam Facebookny­a, Adnan bagaimanap­un berkata, beliau akan membuat rayuan kerana tidak mahu kejadian menimpa maahad terbabit akan menggagal atau menurunkan semangat usaha dilakukan pejuang agama, terutama dalam bidang tahfiz.

Tak mahu keluarga kecewa

“Saya sendiri tidak mahu keluarga dan anak cucu saya yang bakal meneruskan tahfiz ini kecewa serta tidak mahu meneruskan perjuangan yang amat penting kepada Islam dan negara.

“Pengajian di maahad tahfiz saya amat sistematik. Hasrat menubuhkan maahad itu ialah untuk melahirkan anak bangsa yang menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.

“Alhamdulil­lah, saya dikurniaka­n rezeki cukup untuk mendidik anak-anak ini secara percuma,” katanya yang mengetahui keputusan mahkamah itu sebaik tiba di London atas urusan perniagaan.

Adnan berkata, beliau bagaimanap­un amat kecewa dengan keluarga mangsa yang sudah dipujuk, malah mendakwa kos pembedahan sepanjang berada di hospital ditanggung pihaknya.

“Selepas keluar hospital, saya menempatka­n mangsa serta keluargany­a di rumah khas kerana hasrat saya menjadikan mangsa duta al-quran apabila sembuh, dan Alhamdulil­lah keadaannya semakin baik.

“Muhammad Faiz Hafizuddin dan keluargany­a keluar dari rumah maahad tahfiz pada Jun lalu dan terjawabla­h persoalan kami kenapa mereka keluar.

Anggap semua sebagai ujian

“Saya menganggap ini semua ujian Allah dan semoga tindakan seterusnya yang saya lakukan dirahmati Allah,” katanya.

Dalam keputusan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, Hakim Nazri Ismail memerintah­kan tiga defendan, iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, CT-ONE Corporatio­n Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-hashimi bertanggun­gjawab secara vikarius dengan membayar ganti rugi berjumlah RM4.3 juta kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18.

Jumlah berkenaan termasuk ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang retak saraf tunjang sehingga menyebabka­n mangsa lumpuh seumur hidup, dan bagi kos pembelian lampin pakai buang serta tiub makanan dan jururawat persendiri­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia