Mahkamah terima rayuan suri rumah
Alor Setar: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mentenepikan hukuman penjara lima hari ke atas seorang suri rumah yang didapati bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap seorang wanita, dua tahun lalu.
Hakim Chan Jit Li membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan R Samundiswari, 34, namun mengekalkan denda RM8,000 yang dikenakan Mahkamah Majistret Kulim, Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, Samundiswari didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap B Sri Pracha Nanthini, 39, di poliklinik milik suami mangsa di Jalan Tunku Abidah, Kulim, pada 4 Jun 2016, selepas tidak berpuas hati kerana permintaannya diberi layanan tanpa mengikut giliran ditolak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan ke- salahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hujah rayuan peguam bela
Jit Li membuat keputusan itu selepas mendengar hujah rayuan peguam bela, RSN Rayer dan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Syed Hussin.
Sebelum ini, kedua-dua pihak membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi bersabit hukuman itu.
Pihak Timbalan Pendakwa Raya membuat rayuan itu selepas tidak berpuas hati terhadap hukuman ringan dikenakan ke atas tertuduh.
Sementara itu, Rayer membuat rayuan kerana kejadian hanya membabitkan pertengkaran mulut tanpa mendatangkan kecederaan.