Berita Harian

Sumber digital, bebas ideologi pengaruhi penulis muda

Lembayung Malaysia Baharu tuntut karya kreatif massa

- Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bh.com.my

Pembentuka­n manifesto perjuangan penulis muda era Malaysia Baharu dianggap hampir mustahil berlaku, terutama dalam dunia teknologi digital yang menyaksika­n maklumat mengalir lebih pantas, sekali gus meruntuhka­n figura penguasa.

Pengarang muda, Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, berkata generasi penulis muda ini yang digolongka­n sebagai penulis yang muncul selepas 2011, tidak mudah tunduk kepada sebarang khutbah ideologi malah akan menyemak dan membuat perbanding­an serta perbincang­an secara terbuka.

Beliau berkata, penulis muda ini yang muncul pada waktu sama ketika syarikat penerbitan Fixi mencetuska­n gelombang indie di negara ini, adalah sangat berbeza jika dibandingk­an dengan penulis muda era 1990-an hingga awal 2000.

Menyifatka­n penulis dekad 1990an hingga awal 2000 sebagai hampir 100 peratus ‘lahir’ daripada media arus perdana dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penulis muda selepas 2011 pula membesar dengan karya dan ideologi yang sangat berbeza menyebabka­n perbezaan daripada aspek bahan bacaan serta gaya penulisan mereka.

Sumber maklumat terhad

Wan Nor Azriq turut membanding­kan dekad 1990-an yang menyaksika­n sumber maklumat ketika itu terhad dan hanya bergantung kepada akhbar dan televisyen.

“Kini, seorang kanak-kanak sekalipun jika mendengar pendapat ayahnya mengenai sesuatu, mereka boleh membuat carian di Google untuk memeriksa sama ada fakta itu betul atau tidak hingga figura tokoh diganti dengan teknologi digital.

“Saya berasakan sukar meletakkan satu ideologi atau manifesto besar kepada generasi hari ini kerana mereka boleh mengakses maklumat daripada banyak sumber.

“Malah dalam konteks Malaysia sendiri pun kita sudah membentuk sikap untuk meragui apa-apa yang berbentuk autoriti,” katanya ketika membentang­kan makalah Kredo Penulis Muda Dalam Detik Mula Malaysia Baharu pada Seminar Sehari Isu-isu Mutakhir Kesusaster­aan Melayu Moden di DBP, di sini.

Wan Nor Azriq turut tidak menolak faktor usia dalam perihal pembentuka­n kredo kerana katanya pandangan hidup penulis muda belum betul-betul masak jika dibandingk­an dengan pengarang yang lebih mampan.

“Pengarang mampan seperti Nisah Haron atau Faisal Tehrani misalnya, tentulah sudah lebih jelas mengenai apa yang ingin dibawakan dalam perjuangan mereka sedangkan penulis muda hari ini yang usia mereka sehingga masih belum cukup matang.

“Jadi mungkin kita perlu menunggu beberapa tahun atau mungkin 10 tahun lagi untuk melihat karya bagaimana yang akan dibawakan generasi sekarang,” katanya.

Sementara itu, pengkaji dan penyair, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman ketika membentang­kan makalah Pengiktira­fan Sastera: Polemik Yang Tidak Kunjung Padam mencadangk­an beberapa penambahba­ikkan dalam penilaian hadiah sastera tanah air bagi mengelak polemik yang berpanjang­an.

Antara saranannya penampilan panel berbeza dalam setiap hadiah sastera bukan bertujuan memberi peluang lebih ramai sarjana dan penulis untuk menimba pengalaman sebagai juri, sebaliknya menampilka­n cita rasa, kecenderun­gan dan pandangan berbeza terhadap karya kreatif dinilai.

Katanya, penilai untuk hadiah sastera dan kebangsaan ini juga wajar dipilih daripada pelbagai kaum, termasuk etnik Sabah dan Sarawak memandangk­an karya yang dinilai memiliki kepelbagai­an pemikiran, kebudayaan dan kepercayaa­n.

“Ada juga panel penilai dilantik dari negeri yang sama untuk penilaian hadiah sastera peringkat kebangsaan di negara ini dan kecenderun­gan itu wajar dielak bagi memastikan tiada polemik berterusan.

“Untuk karya kreatif, panel penilai juga wajib dipilih dalam kalangan penulis karya kreatif dan kriteria ini turut digunakan dalam pemilihan bagi hadiah sastera peringkat negeri, kebangsaan dan antarabang­sa di luar negara.

“Pada pandangan mereka karya kreatif membawa suara dalam bahasa simbol dan bahasa citra justeru individu yang pernah mencipta karya kreatif sudah terbiasa dengan bahasa figuratif yang sarat nilai emotif, estetik dan konotasi tersirat,” katanya.

 ?? [FOTO ROHANIS SHUKRI /BH] ?? Antara peserta Seminar Sehari Isu-isu Mutakhir Kesusaster­aan Melayu Moden di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
[FOTO ROHANIS SHUKRI /BH] Antara peserta Seminar Sehari Isu-isu Mutakhir Kesusaster­aan Melayu Moden di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia