PSM gagal langsai denda RM28,960
Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengesahkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) gagal melangsaikan denda AS$7,000 (RM28,960) susulan insiden pada Kejohanan Piala Raja Thailand 2016.
ISTAF memberi tempoh sehingga semalam bagi melangsaikan jumlah berkenaan namun Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader mengesahkan tiada bayaran dilakukan PSM.
Terdahulu, pegawai dan pemain negara didakwa enggan meneruskan aksi final acara berpasukan regu pada edisi ke-31 kejohanan berkenaan yang berlangsung di Fashion Island, Bangkok.
Selepas perbicaraan, mesyuarat ISTAF dan rayuan dikemukakan, lima individu dikenakan denda RM28,960 iaitu ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad, penolong jurulatih Mohd Rashidi Nordin serta tiga pemain Izurin Rifin, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Safaruddin Abu Bakar.
ISTAF menerusi surat yang bertarikh 14 September yang dikeluarkan Timbalan Presiden, Boonchai Lorhpipat mengarahkan ia perlu dibayar ke sebuah bank di Bangkok menerusi pemindahan wang sebelum atau pada 17 Februari 2017.
Tukar pemain
Bagaimanapun menurut surat berkenaan, PSM bertindak menghantar cek kepada ISTAF dan jumlah berkenaan tidak dapat dipindahkan ke akaun milik ISTAF.
Menurut Boonchai lagi, cek berkenaan dipulangkan kepada PSM namun sehingga surat berkenaan ditulis, tiada cek baharu atau pemindahan wang dilakukan.
ISTAF bertindak memberi tempoh sehingga semalam dan kegagalan membayarnya akan menyebabkan tindakan penggantungan empat bulan kepada lima individu berkenaan.
“Saya boleh mengesahkan tiada bayaran dibuat kepada ISTAF sehingga semalam (tarikh akhir),” tambah Abdul Halim.
Malah menurut Abdul Halim, PSM bertindak menukar jurulatih dan pemain yang terbabit pada Kejohanan Piala Raja Thailand edisi ke-33 yang bermula hari ini.
“Mereka membuat beberapa pertukaran termasuk menggantikan Abdul Talib dalam senarai asal pada mesyuarat pengurus pasukan semalam. Ia seharusnya tidak boleh namun ia dibenarkan kerana kita mengambil kira pertimbangan daripada pelbagai aspek,” katanya.