Berita Harian

ESSCOM bincang isu bot pam

-

Kota Kinabalu: Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengenai penggunaan bot pam susulan kejadian penculikan dan berbalas tembakan di perairan Pantai Timur negeri ini.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata pertemuan akan dibuat Rabu depan untuk membincang­kan mengenai penggunaan kod warna bot pam mengikut daerah di Sabah.

Katanya, cadangan itu adalah salah satu usaha bagi memantau pergerakan perairan di Sabah, terutama di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Perkembang­an mengenai perbincang­an itu, kita akan maklum (media) selepas mengadakan perbincang­an dengan Ketua Menteri Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Pada 21 September lalu, Hazani dipetik berkata, ESSCOM menyambut baik cadangan kerajaan negeri untuk mendaftar semula bot pam tempatan di Sabah.

Beliau berkata, ESSCOM juga mencadangk­an penggunaan kod warna pada bot pam bagi mewakili setiap daerah di Sabah.

Langkah itu susulan pasukan keselamata­n menembak mati dua lelaki dipercayai warga Filipina yang menjadi tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR).

Pada 11 September lalu, dua kru bot warga Indonesia diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Bodgaya di Semporna yang menyerbu bot nelayan sebelum dipercayai dilarikan ke perairan negara jiran.

Lindungi sempadan negara

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan menggunaka­n bot pam yang mana bot jenis sama digunakan oleh nelayan tempatan dan kumpulan KFR.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu melarang penggunaan bot pam berikutan beberapa siri penculikan di laut.

Mohd Shafie, pada 21 September lalu, menolak dakwaan kumpulan jenayah rentas sempadan akan menyusup masuk semula ke Sabah bagi melakukan jenayah, termasuk penculikan, selepas kerajaan baharu mengumumka­n akan mengkaji semula pengharama­n penggunaan bot pam.

Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri mengambil langkah yang perlu untuk melindungi sempadan negara daripada jenayah KFR.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun menerusi Twitter yang dimuat naik semalam, berkata kerajaan negeri perlu menimbang semula cadangan menarik semula larangan penggunaan bot pam di Pantai Timur Sabah.

“Risiko keselamata­n melebihi manfaatnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia