Berita Harian

Pelajar lumpuh dapat pampasan RM4.3 juta

-

Jah Suriawani Mustapha dan suami, Mohd Izahir Kassim menangis terharu selepas Mahkamah Sesyen Kota Bharu memerintah­kan Maahad Tahfiz Al-hashimi, Kuala Krai, membayar ganti rugi RM4,334,507 kepada Muhammad Faiz Hafizuddin (berbaring), yang lumpuh akibat kemalangan dan tujuh pelajar tahfiz maut di Machang tahun lalu.

Kota Bharu: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, memerintah­kan Maahad Tahfiz Alhashimi di Kuala Krai membayar ganti rugi am dan khas kerana kecuaian berjumlah RM4.3 juta kepada bekas pelajarnya yang lumpuh akibat kemalangan Jun tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail memerintah­kan tiga defendan, iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, CT-ONE Corporatio­n Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-hashimi bertanggun­gjawab secara vikarius dengan membayar kos itu kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18.

Jumlah berkenaan termasuk ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang retak saraf tunjang sehingga menyebabka­n mangsa lumpuh seumur hidup, dan bagi kos pembelian lampin pakai buang serta tiub makanan dan jururawat persendiri­an.

Plaintif diwakili peguam, R Kameswary serta Mazlinda Mahmud, manakala pengasas Maahad Tahfiz Al-hashimi, Datuk Adnan Hashim, diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah dan Azman.

Muhammad Faiz Hafizuddin yang turut dibawa ke mahkamah dilihat mengalirka­n air mata sebaik hakim membuat perintah itu.

Sementara itu, Kameswary berkata, perbicaraa­n mengambil masa dua hari sahaja dengan empat saksi dipanggil, termasuk ibu bapa mangsa dan pengasas maahad tahfiz terbabit.

Pemandu van tiada lesen

“Semakan mendapati van dinaiki mangsa tidak memiliki insurans terhadap pelajarnya dan pada hari kejadian, kenderaan itu dipandu oleh pemandu yang tidak ada lesen.

“Pemandu van itu adalah kakitangan maahad dan syarikat van CT-ONE Corporatio­n Sdn Bhd juga milik maahad terbabit,” katanya ketika ditemui.

Dalam kemalangan pada 2 Jun tahun lalu, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz terkorban dengan lima daripadany­a maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK).

Ketika kejadian, pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri program tafsir alquran di Madinah Ramadan Kota Bharu, di sini, sebelum van dinaiki terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Izahir Kassim, 50, bersyukur keputusan mahkamah memihak kepada anaknya dan nasib Muhammad Faiz Hafizuddin sekurang-kurang terbela.

“Duit bakal diperoleh ini bukan untuk saya atau isteri tetapi akan dimanfaatk­an sepenuhnya bagi menampung kos perubatan Muhammad Faiz Hafizuddin memandangk­an saya sudah bersara.

“Saya mahu membawa anak menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam. Walaupun doktor memaklumka­n peluang Muhammad Faiz Hafizuddin pulih adalah tipis, sekurang-kurang kami mencuba,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO FATHIL ASRI /BH] ?? Jah Suriawani Mustapha bersama anaknya, Muhammad Faiz Hafizuddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
[FOTO FATHIL ASRI /BH] Jah Suriawani Mustapha bersama anaknya, Muhammad Faiz Hafizuddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia