Berita Harian

Tutup pusat tahfiz songsang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof tegaskan kerajaan akan menutup mana-mana pusat tahfiz jika pengetua atau pemiliknya dibuktikan terbabit dengan gangguan seksual ke atas pelajar

- Laporan Raja Noraina Raja Rahim

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk mengarahka­n penutupan pusat tahfiz jika pengetua atau pemiliknya dibuktikan terbabit dengan gangguan seksual terhadap pelajar mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof, berkata kesalahan meliwat atau mencabul di pusat tahfiz bukan sahaja mencemarka­n institusi tahfiz tetapi juga agama Islam.

Hilang kepercayaa­n umum

“Jangan kita menggunaka­n nama baik institusi tahfiz untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama. Perbuatan keji itu bukan sahaja memburukka­n imej agama tetapi orang akan hilang kepercayaa­n terhadap institusi berkenaan.

“Individu terbabit perlu diambil tindakan dan sekolahnya juga perlu diberi amaran. Kalau pengetua, kita terpaksa arah tutup kerana memalukan dan memberi kesan negatif,” katanya pada sidang media selepas Seminar Fiqh Kewarganeg­araan (Fiqh Muwatanah) Dalam Naratif Malaysia Baharu di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur yang ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual selain meliwat sembilan penuntut berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.

Suspek berusia 30-an sudah didakwa dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau akan meneliti laporan kes itu dan jika suspek didapati bersalah terhadap tuduhan maka pihaknya akan menutup pusat tahfiz berkenaan.

Malah, katanya, suspek juga mungkin dihalang untuk meneruskan pengajaran dan kembali ke pusat itu sekiranya dibenarkan jamin oleh mahkamah sehingga kesnya selesai.

Sementara itu, Mujahid turut menasihati ibu bapa supaya menyemak atau memilih pusat tahfiz yang diiktiraf dan berdaftar supaya keselamata­n serta masa depan anak mereka lebih terjamin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia