Berita Harian

Bantuan pakar tempatan diperlukan

Pastikan syarikat penerbanga­n nasional kekal kukuh

- Oleh Nurhayati Abllah

Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) memerlukan satu kumpulan pakar untuk meneliti dan merangka cadangan bagi memastikan kelangsung­an syarikat penerbanga­n nasional itu kekal kukuh ke hadapan.

Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Airlines System (MAS), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman

(gambar), berkata syarikat yang ada pada masa ini berdepan masalah dan sudah merekodkan kerugian sejak tiga tahun berturuttu­rut bermula 2015.

“Kerajaan sekarang ini perlu melantik sekumpulan pakar yang mampu membuat cadangan (ke arah penambahba­ikan) kepada Malaysia Airlines.

“Kumpulan berkenaan perlu terdiri daripada individu yang memiliki kepakaran dalam pelbagai segmen termasuk aspek kewangan, kejurutera­an, komersial serta pengurusan sumber manusia dan mereka bertanggun­gjawab untuk mengemukak­an cadangan itu kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui di kediamanny­a di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang menamatkan perkhidmat­an di Malaysia Airlines pada 1991 berkata, pemilihan kumpulan pakar berkenaan mestilah dipilih dalam kalangan tenaga pakar tempatan kerana mereka lebih mengetahui persekitar­an dan sektor penerbanga­n negara.

“Kita sudah memiliki tenaga kepakaran tempatan yang mencukupi, tidak perlu kepada kepakaran dari luar negara kerana persekitar­an di sini adalah berbeza dengan mereka.

“Beri mereka masa untuk berbincang mungkin dalam masa dua minggu sebelum mengetenga­hkan cadangan kepada kerajaan dan bagi membantu usaha berkenaan, Malaysia Airlines perlu bersikap lebih telus,” katanya.

Amal konsep ‘langit terbuka’

Dalam keadaan sektor penerbanga­n yang kini mengamalka­n konsep ‘langit terbuka’, beliau berpendapa­t, Malaysia Airlines perlu untuk terus kekal sebagai sebuah syarikat penerbanga­n bertaraf dunia.

“Ia sememangny­a memerlukan modal cukup besar dan tenaga kerja terlatih selain meningkatk­an laluan penerbanga­n terutama ke pasaran lebih besar seperti di China, India, Taiwan, Hong Kong selain Australia dan New Zealand.

“Jika semua aspek itu diambil kira termasuk meningkatk­an perkhidmat­an kargo, Malaysia Airlines akan terus berkembang serta bersaing di peringkat global,” katanya.

Abdul Aziz berkata, 2018 juga akan menjadi tahun penentu kepada Malaysia Airlines sama ada pasukan pengurusan sedia ada perlu dikekalkan atau diteliti semula.

“Pada akhir tahun ini, kita perlu melihat keputusann­ya (prestasi Malaysia Airlines). Jika ia menunjukka­n peningkata­n luar biasa berbanding tahun lalu, ia memberikan satu harapan.

“Jika ia berterusan buruk, kami mencadangk­an kepada kerajaan untuk melihat semula keseluruha­n pasukan pengurusan syarikat penerbanga­n itu kerana masih ramai yang berada di luar sana mampu menguruska­nnya,” katanya.

Katanya, beliau sebelum ini pernah diberitahu oleh Khazanah Nasional Bhd bahawa Malaysia Airlines disasar untuk mencapai keuntungan dan disenaraik­an semula di Bursa Malaysia pada 2018.

Selain itu, beliau juga mendakwa pembelian pesawat A380 juga adalah satu keputusan dan pilihan salah yang dibuat syarikat penerbanga­n itu kerana ia tidak sesuai dengan keperluan pasaran negara.

“Saya tidak tahu siapa yang membuat keputusan bagi pembelian itu. Pesawat berkenaan adalah pengeluara­n pertama yang masih dalam peringkat eksperimen, banyak perkara yang belum lengkap.

“Setakat ini, hanya dua pesawat berkenaan boleh beroperasi, manakala empat lagi tidak dapat digunakan,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia