Berita Harian

Ahli Parlimen Baling dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH),

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abang serta seorang saudara mereka ditahan semalam, dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan terima rasuah daripada syarikat kontraktor

-

Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya serta seorang saudara mereka ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi itu, semalam.

Abdul Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ditahan pada jam 11.15 pagi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Abangnya, Abdul Latif yang juga pengurus besar sebuah syarikat ditahan di Sungai Buloh, 15 minit selepas itu, manakala saudara mereka yang berusia 30-an ditahan petang semalam.

Sumber memberitah­u BH, ketiga-tiganya difahamkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Sita beberapa akaun

Beliau berkata, nilai rasuah yang disiasat ketika ini bernilai jutaan ringgit dan SPRM turut membuat sitaan terhadap beberapa akaun, namun nilai sebenar masih belum diketahui.

Siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

SPRM pada Mei lalu pernah merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.

Serbuan itu ada kaitan mengenai siasatan berkenaan satu projek seliaan TH.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat lokasi, termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di sini.

Wang tunai yang dirampas dipercayai berjumlah RM500,000 dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM600,000.

Antara mata wang asing ditemui dari negara seperti Britain, Vietnam, India, Korea Utara, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Eropah, Sri Lanka, Syechelles, Somalia, Myanmar, Pakistan dan Qatar.

 ??  ??
 ??  ?? Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abdul Rahim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia