Berita Harian

SUSPEK BUNUH, SUMBAT MAYAT IBU DALAM TANGKI NAJIS DITAHAN

Lelaki mengaku letak mangsa dalam tangki kumbahan

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Suspek kes pembunuhan ibunya yang mayatnya ditemui dalam tangki najis di Jalan Sungai Burung di sini, kelmarin, ditahan polis pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superinten­dan A Anabalagan, berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 8.45 pagi di depan Pejabat Kesihatan daerah di Jalan Air Putih di sini dan dipercayai di bawah pengaruh petrol.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku membunuh ibunya, Faridah Hashim, 63, selepas bertengkar dengan wanita itu di bahagian dapur rumah mereka.

“Suspek turut mengaku menusuk pisau yang ditemui dalam tangki najis terbabit pada bahagian leher, sebelum mengelar leher ibunya dan kejadian itu dilakukann­ya sendiri.

“Dia turut mengaku menolak simen tangki kumbahan dan meletakkan mangsa dalam tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Suspek direman

Beliau berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini, jam 8 pagi ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Misteri kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu, terjawab selepas mayatnya ditemui dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, di sini, petang kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh anak bongsunya pada Rabu lalu dan mayat wanita itu yang tenggelam dalam tangki najis rumah mereka sedalam 1.2 meter ditemui menantunya kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Fauzi Ismail, 41, berkata dia ada bermimpi terjumpa mayat dalam lubang berhampira­n rumahnya pada malam kejadian pembunuhan ibunya dikatakan berlaku pada 19 September lalu.

“Saya tak sangka mimpi ini petunjuk bagi kes kehilangan ibu selama seminggu. Selepas bermimpi, saya mencari di dua perigi buta dan tangki najis di sekitar rumah, tetapi tidak berhasil.

“Bagaimanap­un, kami sekeluarga sekali lagi mencari ibu di tangki najis, petang semalam (kelmarin) dan menemui pakaian terakhir dipakai arwah, selain terlihat tangan ibu terapung dalam tangki terbabit,” katanya ketika ditemui NSTP di Masjid Sungai Burong, semalam.

Sempat bersih percikan darah

Beliau berkata, adik bongsunya dikatakan sempat membersihk­an percikan darah ibunya di bahagian dapur rumah, selain membakar kain pengelap, sebelum meletakkan mayat ibu dalam tangki najis.

“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini. Saya ingin berjumpa adik dan tanya kenapa dia bertindak kejam terhadap ibu...saya mahu jawapan daripadany­a,” katanya.

Ditanya keperibadi­an adik bongsunya itu, Muhammad Fauzi mengakui dia sering bertindak agresif selepas menghidu petrol yang dilakukann­ya sejak 16 tahun lalu.

“Adik memang sering keluar masuk pusat pemulihan, tetapi masih ketagih menghidu petrol. Dia juga pernah mencederak­an dahi kakaknya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital dan menjadi kes polis.

“Kami berharap adik terima hukuman setimpal,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO MIKAIL ONG/BH] ?? Jenazah Faridah selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Burong, Balik Pulau, Pulau Pinang.
[FOTO MIKAIL ONG/BH] Jenazah Faridah selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Burong, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia