Berita Harian

Malaysia ikrar terus lindungi pelarian

Negara mahu tanggungja­wab tangani masalah dikongsi

-

Malaysia memberi perlindung­an kepada 161,146 pencari suaka dan pelarian daripada 59 negara sehingga 31 Ogos lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia akan meneruskan komitmen antarabang­sanya dalam menerima penghijrah­an yang disebabkan oleh peperangan, bencana alam, kegawatan politik dan konflik bersenjata.

Bagaimanap­un, katanya, tanggungja­wab menangani masalah pelarian mesti dikongsi bersama, antara kerajaan sumber dengan negara penerima.

“Ia tidak boleh dan tidak seharusnya menjadi tanggungja­wab satu pihak sahaja.

“Dasar dan pendekatan peringkat antarabang­sa mesti memenuhi keperluan semua pihak, selain dirangka dan dilaksanak­an menerusi pembabitan aktif pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peringkat Tertinggi Impak Global Pelarian (GCR) di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam.

GCR adalah perjanjian antarabang­sa tidak mengikat dalam kalangan negara anggota PBB, yang menggarisk­an langkah untuk meningkatk­an kehidupan pelarian dan negara penerima.

Ia dijangka diterima secara rasmi oleh Perhimpuna­n Agung PBB (UNGA) menjelang akhir tahun ini.

Saifuddin berkata, pelarian di Malaysia mempunyai akses terhadap rawatan perubatan di klinik dan hospital kerajaan.

Kemudahan pendidikan

Malah, katanya, mereka yang menghidap penyakit berjangkit turut dikecualik­an daripada bayaran ketika mendapatka­n rawatan.

Beliau berkata, pelarian turut menikmati kemudahan mendapat pendidikan dengan kerjasama Suruhanjay­a Pertubuhan Bangsabang­sa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti pelarian.

Katanya, Malaysia akan terus meningkatk­an tadbir urus penghijrah­an tanpa menjejaska­n aspek kedaulatan, integriti dan keselamata­n.

Menghadiri mesyuarat pleno keamanan sejagat sebagai mengenang pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, selepas itu, Saifuddin merakamkan penghargaa­n terhadap legasi pejuang dasar antiaparte­id itu.

Dasar dan pendekatan peringkat antarabang­sa mesti memenuhi keperluan semua pihak, selain dirangka dan dilaksanak­an menerusi pembabitan aktif pihak berkaitan” Saifuddin Abdullah, Menteri Luar

Beliau berkata, Malaysia dan dunia akan terus mengenang perjuangan dan pengorbana­n peribadi Mandela, dalam menjuarai hak asasi bagi rakyatnya serta keamanan dunia.

“Ketika Nelson Mandela melawat Malaysia buat kali pertama pada 1990, beliau teruja mengetahui usaha kami dalam aspek pembanguna­n bangsa.

“Malaysia baru selesai menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dan seperti mana pilihan raya bersejarah Afrika Selatan pada 1994, suara rakyat memperkasa­kan terbentukn­ya kerajaan baharu,” katanya.

 ?? [FOTO AFP] ?? Saifuddin berucap pada Majlis Peringkat Tertinggi Impak Global Pelarian di Ibu Pejabat PBB New York, semalam.
[FOTO AFP] Saifuddin berucap pada Majlis Peringkat Tertinggi Impak Global Pelarian di Ibu Pejabat PBB New York, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia