Berita Harian

Syarat baharu mohon lesen AP sisa plastik

-

Kuala Langat: Kerajaan akan memperkena­lkan syarat baharu bagi permohonan lesen permit import (AP) sisa plastik, termasuk mengenakan levi sebanyak RM15 bagi setiap tan barangan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata antara syarat baharu lain adalah syarikat pengimport mesti mempunyai kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, selain wajib mengemukak­an maklumat sumber sisa plastik dibeli.

Beliau berkata, syarikat yang mahu memohon AP juga perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dibuka 23 Oktober

“Permohonan AP untuk mengimport sisa plastik kita bekukan pada masa ini dan akan dibuka pada 23 Oktober depan. Bagi syarikat yang mahu memohon, mereka perlu patuh terhadap peraturan baharu ini.

“Pengenalan levi turut dikenakan pada tarikh sama, di mana sebelum ini sebarang pengimport­an sisa plastik tidak dikenakan sebarang levi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkaitan isu aduan kilang memproses sisa plastik tidak berlesen di sini, semalam.

Zuraida berkata, menurut rekod kementeria­nnya, 234 permohonan untuk AP berkenaan diterima dan hanya 114 syarikat yang aktif dan daripada jumlah itu, hanya 51 mempunyai kelulusan daripada MIDA.

13 kilang ada lesen sah

Mengulas mengenai isu kilang memproses sisa plastik, beliau berkata ada 54 kilang di daerah Kuala Langat, tetapi hanya 13 mempunyai lesen operasi yang sah.

“Kilang tidak mempunyai lesen ini akan diarahkan tutup dan satu mesyuarat akan dijalankan minggu depan bagi mencari jalan terbaik bagaimana untuk melupuskan sisa plastik yang ada di kilang itu,” katanya.

Beliau berkata, masa akan datang pihaknya juga akan mengarahka­n kilang memproses sisa plastik berlesen dipindahka­n ke kawasan perindustr­ian berat kerana ia tidak sesuai beroperasi berhampira­n kawasan kediaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia