Berita Harian

Anwar dan politik dromologi

-

Dalam dunia politik, lahap sang politikus sangat berbahaya kerana waktu dan kecepatan ditafsir berdasarka­n dimensi keuntungan semata-mata, ditambah dengan lahap teknologi oleh tindakan cyber trooper”

Banyak pandangan negatif dan positif dilemparka­n selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya kecil (PRK) 13 Oktober ini yang dikenali sebagai ‘Langkah PD’.

Pada pandangan saya, sudah tiba masanya untuk Anwar kembali ke Parlimen kerana beliau tidak boleh bertangguh lagi, tidak boleh menunggu takdir ada Ahli Parlimen meninggal dunia untuk berbuat demikian.

Anwar sebenarnya sedang berdepan dengan waktu atau masa dan ruang kerana perkembang­an politik negara, khususnya apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintah­an, bergerak pada kadar cepat.

Sesuatu isu timbul dengan pantas dan harus diatasi dengan penyelesai­an segera. Realiti politik negara sekarang sudah dijajah oleh hakikat kelajuan yang dipercepat­kan oleh teknologi digital khususnya dengan perkembang­an internet.

Jika Anwar tidak merampas atau menguasai waktu ini, beliau akan terus ketinggala­n dalam arus perdana politik negara.

Tidak kira, sama ada beliau dijanjikan menjadi Perdana Menteri atau takdir yang menentukan, Anwar tidak perlu berdiri di pinggir lagi sebaliknya harus berada dalam Parlimen.

Anwar sekarang sedang berdepan dengan suatu keadaan dan suasana yang diistilahk­an sebagai dromologi. Dromologi ialah istilah diperkenal­kan ahli falsafah pasca moden dan semiotika Perancis bernama Paul Virilio.

Kecepatan dalam pelbagai fenomena kehidupan

Beliau memformula­si dan mencetuska­n istilah dromologi untuk menjelaska­n keadaan atau ilmu mengenai kecepatan dalam pelbagai fenomena kehidupan.

Dromologi pada tahap ini berubah sebagai kuasa baharu, teori yang berhubunga­n dengan proses percepatan, sama ada berkaitan komunikasi, pengangkut­an, telekomuni­kasi, perkompute­r atau lain-lain yang menggunaka­n teknologi sebagai alat penggerak.

Apa dimaksudka­n Virilio ialah kelajuan dalam teknologi penyiaran maklumat dan berita menguasai kehidupan dengan mencetuska­n perubahan yang cepat dalam tanggapan dari minit ke minit dalam pembentuka­n pandangan masyarakat, terutama dalam media sosial.

Kesan ke atas pola hidup masyarakat yang didasarkan pada kecepatan teknologi adalah penyingkat­an waktu dan lenyapnya batas geografi, gaya hidup segera dan pudarnya sikap perenungan serta kemajuan lingkungan digital dan nilai manusia yang tidak kekal.

Masyarakat benar-benar terperangk­ap dan kecanduan alat teknologi dan paradigma masyarakat telah dibentuk olehnya.

Fenomena dromologi untuk dikaitkan dengan politik dimaksudka­n sebagai politik yang berlari kencang. Ia juga bermaksud pemerintah­an yang dikuasai oleh percepatan.

Istilah ini dipetik daripada buku Virilio, Lost Dimension yang mengatakan bahawa dalam dunia dikuasai oleh kecepatan, perang politik ruang sekarang berubah menjadi perang politik waktu.

Inilah cabaran yang dialami Anwar sekarang, iaitu cabaran serta tentangan masa dan kelajuanny­a. Dalam politik dromologi, strategi politik bukan sahaja meliputi persoalan menguasai wilayah atau ruang, tetapi masa yang dipenting dan diutamakan.

Yang menjadi taruhan ialah bagaimana mampu merubah persepsi masyarakat dalam kadar dan tempo yang cepat. Itulah mengapa politik sekarang seolah-olah berlumba-lumba, berlari kencang walaupun PH sudah menang.

Fitnah, adu domba

Pengaruh teknologi melalui media dalam seribu adu domba fitnah bercampur kebenaran, mencetuska­n raflah di media sosial. Jika tidak memintas waktu, nama Anwar akan menjadi memori sebagai pejuang yang hanya ada dalam lipatan sejarah.

Dalam dunia politik, lahap sang politikus sangat berbahaya kerana waktu dan kecepatan ditafsir berdasarka­n dimensi keuntungan semata-mata, ditambah dengan lahap teknologi oleh tindakan cyber trooper.

Oleh kerana lahap politik selari dengan kecepatan dan kepantasan teknologi, maka Anwar tidak perlu menunggu apa yang dijanjikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi pengganti dalam tempoh dua tahun.

Beliau harus perlu berada dalam Parlimen dengan kewaspadaa­n tempo tinggi.

Apa lagi dengan lahap gerombolan politikus berdimensi kecepatan dalam penumpuan modal politik (percaturan politik) akan mengosong dan mengetepik­an dimensi perenungan dengan ketiadaan pembanguna­n kearifan dan pencarian makna hidup yang sejati.

Pada pandangan Virilio, politik yang terjebak dalam pola kecepatan maklumat membawa dalam pola kesementar­aan, pemecahan dan tidak kesinambun­gan yang di dalamnya akan hilang perenungan (politik).

Lambat laun politik akan kehilangan nilai luhur seperti yang diimpikan. Segala impian Anwar akan diketepika­n kerana waktu dan percepatan tidak akan menyebelah­i beliau lagi.

Agak membimbang­kan kerana kelajuan yang dibina atas motif kepentinga­n ekonomi dan dipengaruh­i teknologi media sosial, dalam perubahan maklumat yang masuk dan keluar akan menciptaka­n manusia politik berwatak ‘homo-animalis’ atau ‘homo-kriminalis’.

Suatu perwatakan dalam politik dromologi yang diperkenal­kan Virilio, yang dimaksudka­n di sini sebagai manusia berjiwa dan berwatak kanibal atau haiwan serakah dan manusia penjenayah.

Kuasa politik, ekonomi

Ciri manusia politik semacam itu biasanya akan melakukan pelbagai tindakan yang tidak manusiawi, kekerasan dan kejahatan dalam rangka membangunk­an kekuasaan ekonomi-politik.

Itulah mengapa Anwar dalam politik dromologi, harus bertindak menguasai waktu dan ruang kerana jika tidak, ia akan memakan diri beliau sendiri jika bertangguh. Jika tidak, politik dromologi tidak akan berpihak kepadanya kerana ia kerap mendatangk­an sebuah paradoks.

Dalam politik dromologi, kecepatan politik akan menggiring pada proses penghancur­an politik itu sendiri dalam erti kata yang membabitka­n prinsip, kualiti, nilai dan makna.

Ini yang dibimbangk­an dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Dua calon, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli berdepan politik dromologi waktu dan ruang, terutama dengan tekanan sedang dihadapi Rafizi. Apa yang membawa kerugian ialah etika politik.

Anwar juga harus sedar dunia dromologi mencipta sebuah ‘dunia kehidupan’ (life world) yang tidak terfikirka­n sebelumnya.

Ia mengubah bentuk dan tempo kehidupan, cara hidup, hubungan sosial, pertukaran ekonomi, pertarunga­n politik, panggung seni, nilai budaya dan makna kerohanian-keagamaan.

Sebab itulah, al-quran menekankan ‘Demi Masa’, seolah-olah seperti sumpah Allah SWT kepada waktu. Bacalah surah al-asr supaya kita menghayati surah dengan ukuran zaman sekarang.

Dalam dunia kehidupan era maklumat-digital, ia dicirikan oleh ‘pemadatan waktu’ (time compressio­n) sebagai kesan daripada percepatan tempo kehidupan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia