Berita Harian

Wanita berikrar pastikan perjuangan UMNO tak mati

-

Kita kena main peranan sebagai pembangkan­g efektif, kena mainkan isu dan gerak kerja juga mesti berubah, mesti ada fokus untuk memenuhi hala tuju akan datang” Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO

Situasi politik di Malaysia berubah drastik selepas 9 Mei lalu, Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada Pakatan Harapan (PH). Ia menuntut pihak yang kalah melakukan perubahan dan itu yang sedang dan akan dilaksana Wanita UMNO, sayap kepada parti tunjang kerajaan terdahulu. Wartawan NSTP, Mohd Nasaruddin Parzi berkongsi pandangan Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad mengenai agenda pergerakan itu, masa depan parti serta isu semasa yang dihadapi.

S:UMNO sudah jadi pembangkan­g, bagaimana hala tujunya selepas ini?

J: Kita akui kali ini pendekatan­nya berbeza kerana BN bukan lagi kerajaan dan mungkin saya mencipta sejarah menjadi ketua pembangkan­g Wanita UMNO dan BN yang pertama, tapi ini tidak menghalang kita bangkit dan memenangi hati rakyat untuk terus bersama BN dan UMNO dalam menuju PRU15. Pengisian sekarang, kita sudah kalah dan kena terima hakikat UMNO kalah. Orang tidak boleh terima UMNO dan BN, mereka terpedaya dengan janji PH ketika itu.

Selepas itu, mereka janji lagi untuk menang dan meletakkan Janji 100 Hari, tetapi selepas menang, kita tengok dalam masa 100 hari apa yang dia buat? Kita kena main peranan sebagai pembangkan­g efektif, kena mainkan isu dan gerak kerja juga mesti berubah, mesti ada fokus untuk memenuhi hala tuju akan datang. Kita ada hala tuju jangka pendek, sederhana dan panjang. Kita masuk politik sebab nak menang.

S: Apakah ini berlaku kerana dasar UMNO menolak kelompok tertentu di akar umbi?

J: Itu mungkin kejadian terpencil, mungkin hanya membabitka­n individu tertentu, tapi secara keseluruha­nnya, saya melihat UMNO terima semua orang. Macam saya sendiri dari sektor korporat, bila masuk UMNO tiada masalah. Datuk Seri Najib Razak juga bermula muda, Setiausaha Agung UMNO (Tan Sri Annuar Musa) jadi menteri pada usia muda.

Benda itu ada, cuma kita tidak uar-uarkan dan kurang maklumkan. Cuba kita tengok PH, mereka membina ikon, bukan orang muda sangat, tetapi bina ikon kononnya untuk bawa segala harapan. Sekarang mereka dapat apa yang mereka mahu, adakah mereka berjaya laksanakan, saya fikir tidak. Di sini UMNO kena mainkan peranan.

S: Apa pula rangka kerja Wanita UMNO ketika ini?

J: Kita dalam rangka pergi setiap negeri. Sekarang kita ada satu program, ‘Bicara Hasanah’, ia lebih kepada pengisian ilmu dan bergerak buat pertemuan dengan pelbagai kumpulan termasuk usahawan, ahli akademik dan orang muda. Perjumpaan ikut kumpulan sasaran, bukan hanya dengan kita (ahli UMNO), tetapi sekarang masa kita dengan mereka di luar parti. Kita jadi mata, telinga dan desak kerajaan. Betul mereka tidak undi kita dulu, tetapi mereka tetap mahu kerajaan sekarang tunai janji kepada rakyat.

S: Ada beberapa suara berbeza dalam Wanita. Apakah sayap ini sedang alami perpecahan?

J: Itu bukan perpecahan, ada selisih faham sikit ketika pemilihan parti, itu saja. Sebab kita tidak melihat perpecahan pun. Saya terima pandangan dan sedia dengar pandangan. Ia bukan perpecahan, tidak berlaku pun dalam Wanita. Saya kena dengar pandangan mereka sebab mereka mungkin lebih tahu. Sekarang kita sudah kalah, adakah kamu mahu terus kalah? Jangan main dengan mak cik-makcik, kita adalah satu kumpulan makcik yang boleh dibanggaka­n dan boleh menjadi ikon kepada rakyat.

S: Wanita UMNO juga agresif mengadakan kerjasama dengan Muslimat PAS?

J: Kita lebih kepada blok pembangkan­g, mesti mempunyai parti besar tetapi tidak pernah tinggalkan bangsa lain, kita tidak boleh terlampau perkauman. Cina tidak undi kita, kita tinggalkan mereka... tidak. Apa yang dibuat adalah memperkuku­h blok pembangkan­g, bermula di Parlimen. Muslimat juga akan datang Perhimpuna­n Agung UMNO. Kerjasama sekarang lebih kepada blok pembangkan­g. Saya melihat dua parti Melayu terbesar dan boleh duduk bekerjasam­a. Muslimat PAS terima Wanita UMNO, itu saya ucapkan terima kasih. Tidak salah untuk bekerjasam­a untuk menguatkan pakatan pembangkan­g.

S: Program Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) antara segmen dan penggerak penting Wanita UMNO dalam mendamping­i rakyat ketika PRU. Adakah JR Plus gagal?

J: JR Plus adalah jentera Wanita, Plus itu datang dari Pemuda dan Puteri serta komponen BN. JR Plus agak lambat dilancarka­n dan mungkin kekurangan dari segi itu menyebabka­n kelemahan tertentu. Apa yang perlu kita buat sekarang? Kita kena pandang ke depan. Kita mungkin ada kekurangan, seperti bila turun bawah, kita begitu percaya kepada DNA UMNO, maknanya kalau mak ayah dan datuk mereka UMNO, anak dia juga UMNO, tetapi ia tidak berlaku pada PRU lalu.

Jadi kita tambah baik gerak kerja kita, maknanya selepas ini, setiap ketua Wanita mesti ambil peranan. Apa yang saya mula buat sekarang, lihat semula gerak kerja mereka sebelum PRU. Berdasarka­n perkara itu, kita akan susun gerak kerja baharu dengan mengambil kira serta melihat beberapa keadaan yang berbeza. Kawasan saya, Parlimen Parit Sulong tidak sama dengan Putrajaya. Putrajaya juga tidak sama dengan Kangar. Jika keadaan sebegini, maka pendekatan mesti berbeza.

S: Mengapa begitu mudah congakan dibuat bagi melihat sokongan rakyat?

J: Saya kira kita kurang bacaan dari segi ini. Salah tafsir, dari segi kita ambil macam dulu, DNA UMNO, maka anak mesti dengan UMNO. Macam di kampung saya, ibu bapa kita tahu kuat UMNO, tetapi anak belajar di luar tidak semestinya UMNO. Untuk itu, tiada pilihan selain kita perlu dekati mereka. Itu cabaran kita dan anak muda ini sudah terpelajar, begitu terdedah kepada dunia tanpa sempadan dengan media sosial dan mereka ada pendedahan (ruang peroleh maklumat) lebih besar.

S:

Apa yang membawa perubahan kepada corak undi generasi muda?

J: Pada PRU lalu, yang muda, pengundi luar bila balik (mengundi), perkara yang mempengaru­hi adalah mereka lebih mudah percaya janji PH. Faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dan kos sara hidup, kita tidak boleh nafikan. Paling kuat yang tidak boleh nafikan, setiap tahun ada 500,000 orang muda layak mengundi. Ia bukan angka kecil untuk setahun, andai kali dengan lima tahun? Mereka ini lebih kepada cara mereka.

Pengaruh media sosial, kita tidak nafikan kita agak kurang ke depan. Apa yang kita lihat, gerak kerja memang perlu dibaiki, terutama sosial media dan persepsi yang diwujudkan kerajaan ketika ini. Walaupun mereka kerajaan, masih membuat andaian dan menuduh kita. Bila kamu (kerajaan) sudah ada maklumat dan fakta, mengapa perlu tuduh kami? Elok jadi pembangkan­g, sebab prinsip BN, kita lebih teratur dan rasional.

S: Apa hala tuju UMNO selepas ini?

J: Presiden UMNO akan terangkan hala tuju sebenar UMNO. Kalau UMNO mahu mati, itu saya memang tidak bersetuju, sekarang semangat lain macam. Kita sedar Malaysia sudah berubah, kita tidak mahu rasa macam kuat sangat, tetapi untuk kata UMNO akan terkubur, tidak benar sama sekali. Presiden bagi peluang semua pihak suarakan pandangan. Mereka faham cabaran sekarang lebih, berbanding ketika dia (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) jadi Ketua Pemuda UMNO pada 1996, tetapi dia pejuang.

Kita tunggu dalam ucapan dasar. Kita akan lihat perincian mengenai hala tuju parti. Kita sudah ada perbincang­an, retreat, pertemuan dan terima pandangan banyak pihak. Kekuatan kita ada, tetapi masih tak cukup. Kalau orang kata UMNO parti cakap pasal Melayu saja, seolah-olah parti rasis, ia semua hanya mainan persepsi. Ini cabaran media sosial kerana maklumat tidak boleh dihentikan. Dulu kita hanya ada televisyen, sekarang tidak lagi. Bagaimana mahu jawab persepsi, kita tidak boleh bergerak solo, mesti bekerjasam­a.

S: Datuk yakin UMNO mampu bangkit semula?

J: Kita lihat parti sejarah Parti Demokrat Liberal (LDP) di Jepun, satu penggal saja (selepas tewas pilihan raya), boleh ambil balik. Sebab dia bersatu antara parti politik, tapi GOLKAR di Indonesia sampai sekarang tidak bangkit sebab saling mencantas. Untuk bangkit semula, kita mahu bawa ahli supaya faham, gerak kerja kita kena buat dari sekarang, tidak boleh saat akhir. Kita kerajaan lama dan tiada akses maklumat, apa sahaja isu semasa, kita kena buat (kerja) dan beri ulasan segera.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia