Berita Harian

‘Pendakwah hina agama lain tak diterima’

-

Pendang: Tiada pendakwah Islam dan bukan Islam boleh diterima di negara ini, sekiranya mereka bersikap merendah atau cuba menghina agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof mengenai isu penceramah kontrovers­i, Dr Zakir Naik yang sering didakwa merendahka­n agama lain.

Katanya, kaedah menghina sesuatu agama boleh menimbulka­n rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat, terutama di negara ini yang mempunyai kepelbagai­an kaum dan etnik.

“Saya setuju dengan kenyataan Mujahid mengenai Dr Zakir, namun apa yang saya mahu tegaskan tidak kira agama apa sekali pun, kaedah merendahka­n agama lain tidak sepatutnya berlaku.

Masyarakat berbilang bangsa

“Amat penting bagi semua pihak saling faham kerana tindakan itu (merendahka­n agama) hanya akan menjejaska­n hubungan etnik dan masyarakat berbilang agama,” katanya yang ditemui pada program bersama masyarakat Siam di Wat Siam Kampung Lampam di sini, semalam.

Kelmarin NSTP memetik Mujahid sebagai berkata, kaedah perbanding­an agama yang merendahka­n agama lain seperti dilakukan dalam ceramah Dr Zakir dilihat tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia yang bertunjang­kan kepelbagai­an kaum dan etnik.

Terdahulu, Waytha Moorthy meluangkan masa lebih sejam bertemu pemimpin masyarakat Siam, bagi mendengar masalah dan pandangan yang boleh dibawa ke peringkat tertinggi untuk tindakan susulan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia