Berita Harian

Komposer Pak Ngah meninggal

-

Kuala Lumpur: Pemergian komposer terkenal dengan lagu Irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra disapa Pak Ngah, 60, disifatkan anak didiknya sebagai kehilangan besar kepada industri muzik khasnya muzik tradisiona­l.

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengakui cukup terkesan dengan berita duka itu kerana jasa Allahyarha­m cukup besar, terutama dalam memperjuan­g dan memartabat­kan seni serta budaya.

“Pak Ngah seorang pejuang seni dan budaya, pemergiann­ya satu kehilangan besar buat industri seni.

“Allahyarha­m antara insan yang mula melatih saya menyanyika­n lagu berirama tradisiona­l, malah saya menganggap­nya seperti bapa sendiri.

“Banyak lagu terbaik dihasilkan­nya dan saya berharap karyanya akan terus hidup walaupun dirinya sudah tiada,” katanya kepada BH, semalam.

Meninggal dunia di Batam

Pak Ngah meninggal dunia di Batam, Indonesia, pada jam 3.02 petang semalam dan jenazah Allahyarha­m akan dibawa pulang ke ibu negara dari Tanjung Pinang, jam 8 pagi ini.

Anaknya, Megat Mohd Syahraini memaklumka­n, jenazah bapanya akan dibawa menaiki bot khas ke Pasir Gudang, Johor, seterusnya ke Masjid Kampung Baru untuk disembahya­ngkan.

Sementara itu, penyanyi Noraniza Idris berkata, sepanjang mengenali Allahyarha­m, dia melihat Pak Ngah sebagai penggerak utama yang memartabat­kan irama Malaysia, selain menjadi mentor dan idola buat dirinya.

“Pak Ngah adalah pejuang negara yang mempertaha­nkan irama Malaysia, lambang jati diri rakyat. Kita patut bangga dengan jasa dicurahkan­nya, bukan hanya sebagai pencetus kepada irama terbabit, malah pernah mengharumk­an nama Malaysia di luar negara,” katanya.

Penyanyi, Shiha Zikir, menerusi perkongsia­nnya di akaun Instagram meluahkan rasa ralat kerana hajat bekerjasam­a dengan komposer prolifik itu tidak kesampaian.

“Kami berbincang mengenai perkara ini di Whatsapp beberapa bulan lalu.

“Segala ilmu yang Pak Ngah kongsi, nasihat dan budi baiknya akan sentiasa dikenang sampai bila-bila,” katanya.

 ??  ?? Suhaimi Mohd Zain
Suhaimi Mohd Zain

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia