Berita Harian

MENTARI bantu pesakit mental jalani kehidupan, bekerja

Sokongan keluarga, rawatan teratur, bimbing penghidap berdikari, sara diri

- Oleh Halina Mohd Noor

Menghidap penyakit mental tidak semestinya menjanjika­n masa depan gelap dan hidup berakhir kerana hakikatnya masih ada peluang untuk pesakit menjalani kehidupan yang normal semula.

Sokongan keluarga, rawatan lebih teratur dan latihan kemahiran mampu memberikan sinar kepada pesakit untuk hidup berdikari, malah bekerja bagi menyara diri sendiri.

Peluang itu disediakan Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) diperkenal­kan Kementeria­n Kesihatan menerusi jabatan mental dan psikiatri hospital awam sejak 2011 bagi menyediaka­n latihan serta sokongan pekerjaan kepada pesakit mental.

Mengikut rekod MENTARI, seramai 377, 238 daripada orang kurang upaya (OKU) kategori mental menjalani program sokongan pekerjaan di 12 pusat MENTARI seluruh negara setakat 2017.

Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr Uma Visvalinga­m, berkata setakat ini sekurang-kurangnya tujuh pesakit berjaya diserap melalui program MENTARI Putrajaya.

Beliau berkata, mereka diterima bekerja di restoran termasuk restoran makanan segera, pasar raya dan hotel sekitar pusat pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n itu.

“Penyakit seperti skizofreni­a dan bipolar boleh menjejaska­n fungsi penghidap, perlu dirawat sebaikbaik­nya serta pesakit dilatih sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih kompetitif dan mampan.

“Tanpa sokongan pekerjaan seperti disediakan MENTARI, mereka sukar untuk kekal lama dalam pekerjaan kerana majikan dan rakan sekerja tidak memahami apa yang mereka lalui,” katanya.

Pesakit dipantau

Katanya, pesakit yang bekerja akan dipantau kakitangan unit paramedik dan jururawat yang akan melakukan lawatan satu atau dua kali seminggu, antara lain mengenal pasti sama ada mereka menghadapi masalah pekerjaan atau kesihatan.

Sebelum ini, pesakit mental bekerja di bengkel terlindung daripada orang luar, membuat kraftangan untuk dijual.

Menerusi MENTARI, mereka diberi pendedahan dengan bekerja bersama orang awam secara separuh masa diikuti dengan sepenuh masa.

Dr Uma berkata, pada awalnya, majikan menolak menerima pesakit mental sebagai pekerja kerana bimbang jika mereka mengamuk dan menakutkan pelanggan.

Maklum balas positif

Bagaimanap­un, katanya, selepas diberi penerangan, pesakit diterima untuk bekerja dan terbukti tidak mengecewak­an majikan apabila menunjukka­n komitmen tinggi dalam tugasan diberikan.

“Kebanyakan majikan memberi maklum balas positif dengan prestasi kerja pesakit mental yang bekerja dengan mereka, malah berminat mengambil lebih ramai pesakit sedemikian.

“Sebenarnya ramai majikan tidak tahu dasar pelepasan cukai satu peratus jika mereka mengupah pekerja orang kurang upaya (OKU) fizikal atau mental. Sehingga kini, tidak sampai 0.3 peratus majikan mengambil peluang itu,” katanya.

Penyakit seperti skizofreni­a dan bipolar boleh menjejaska­n fungsi penghidap, perlu dirawat sebaik-baiknya serta pesakit dilatih sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih kompetitif dan mampan. Tanpa sokongan pekerjaan seperti disediakan MENTARI, mereka sukar untuk kekal lama dalam pekerjaan kerana majikan dan rakan sekerja tidak memahami apa yang mereka lalui” Dr Uma Visvalinga­m, Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia