Berita Harian

Malaysia perlu fokus pengurusan defisit

Kerajaan perlu berhemat, elak kesan lebih buruk

- Oleh Nurhayati Abllah

Malaysia kini perlu fokus kepada pengurusan defisit dan berusaha mengembali­kan semula pendapatan negara selepas berdepan kemerosota­n kedudukan kewangan.

Pengerusi Institut Penyelidik­an CIMB ASEAN (CARI) dan Presiden Kelab Perniagaan ASEAN, Tan Sri Dr Munir Majid, berkata kerajaan perlu menguruska­n kewangan dengan baik dan jumlah defisit yang direkodkan sebelum ini kemungkina­n bukan jumlah yang sebenar.

“Sebagai contoh, jika kita menyatakan lebihan pendapatan, secara jelasnya defisit kita akan menjadi lebih rendah dan bagi sektor swasta jika senario itu berlaku kita perlu melakukan pelarasan semula akaun.

Cabaran perlu dihadapi negara komuniti

“Menerusi pengalaman saya sendiri ketika berada di Celcom, apabila kita perlu membuat pelarasan untuk beberapa aset tertentu dalam tahun sebelumnya yang mana ia tidak wujud, kami terpaksa mengemaski­ni semula akaun berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat CARI mengenai ‘Kemajuan, Keutamaan dan Cabaran Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), di Kuala Lumpur, semalam.

Taklimat itu antara lain membincang­kan mengenai keupayaan dan cabaran yang perlu dihadapi negara komuniti dalam berdepan cabaran semasa, selain matlamat untuk mewujudkan integrasi ekonomi serantau.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha AEC, Dr Aladdin D Rillo.

Mengulas lanjut, Munir berkata, kerajaan perlu menjalanka­n perbelanja­an berhemat kerana jika berlebihan ia akan memberi kesan lebih buruk.

“Jika kerajaan berbelanja terlalu banyak, defisit fiskal kita akan dilihat jauh lebih buruk berbanding tahun lalu dan sebelumnya. Apabila keadaan itu berlaku, rakyat akan menuding jari kepada kerajaan,” katanya.

Proses pemulihan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dipetik sebagai berkata, kerajaan kini memberi perhatian kepada proses pemulihan negara dengan tumpuan utama diberikan kepada pemulihan jentera pentadbira­n yang dirosakkan dan kedudukan kewangan negara yang dibelenggu hutang besar.

Mengenai pemulihan kedudukan kewangan negara, Dr Mahathir berkata, ia penting untuk dilakukan walaupun sukar dan ia berkemungk­inan akan menyebabka­n kerajaan menjual aset-aset untuk mendapatka­n wang untuk membayar hutang.

Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Nazir Razak sebagai Pengerusi CIMB Group, beliau berkata, pihaknya menghormat­i keputusan yang dibuat dan mengiktira­f sumbangan yang diberikann­ya sebelum ini.

“Saya sudah lama mengenali beliau (Nazir) dan mendoakan kejayaanny­a,” katanya.

Nazir turut melepaskan semua jawatan lain dalam kumpulan syarikat CIMB berkuat kuasa pada 31 Disember 2018 dan berikutan itu Lembaga Pengarah CIMB akan menggerakk­an rancangan penggantia­n bagi menentukan pengerusi seterusnya serta tarikh penyerahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia