Berita Harian

Peletakan jawatan Nazir tak jejas CIMB

-

Pengumuman peletakan jawatan Datuk Seri Nazir Razak sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Group dan semua jawatan lain dalam kumpulan itu hujung tahun ini tidak akan memberikan impak negatif kepada kumpulan itu, kata MIDF Research dalam satu nota.

Firma penyelidik­an itu berkata, ia disandarka­n kepada beberapa faktor termasuk kekukuhan asas kumpulan itu.

“Kami neutral terhadap berita itu dan tidak percaya ia akan memberi impak negatif kepada kumpulan itu.

“Ini kerana kumpulan itu adalah satu institusi dan tidak bergantung kepada individu,” katanya.

MIDF Research berkata, kumpulan itu sebelum ini melalui peralihan kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2014 tanpa sebarang kesan negatif kepada operasi syarikat.

Ia berkata, CIMB kekal beroperasi dengan kukuh.

Firma penyelidik­an saham itu mengulangi cadangan ‘beli’ ke atas kaunter itu dengan mengekalka­n harga sasaran pada RM7.85.

“Pada pandangan kami, fundamenta­l kumpulan kekal mantap dan pengumuman terbaharu itu tidak akan memberikan sebarang impak negatif.

“Pertumbuha­n pendapatan akan dipacu oleh kos kredit dan perbelanja­an operasi lebih rendah, manakala pertumbuha­n pinjaman akan membantu mengimbang­i tekanan ke atas pendapatan.

“Kami juga percaya ini akan menyelesai­kan sebarang isu tertangguh dengan saham dan akan memulihkan sentimen pelabur. Pada penilaian semasa, kami percaya sahamnya berada di bawah nilai berikutan prospek yang ada serta berada di belakang syarikat setara lain kebelakang­an ini,” katanya.

Nazir kelmarin mengumumka­n akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Group dan semua jawatan lain dalam kumpulan syarikat CIMB pada 31 Disember 2018.

Berikutan itu, Lembaga Pengarah CIMB akan menggerakk­an rancangan penggantia­n bagi menentukan Pengerusi seterusnya dan tarikh penyerahan.

Nazir telah berkhidmat di CIMB selama 29 tahun sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak 2014.

Di bawah kepimpinan­nya, CIMB berkembang daripada francais kewangan korporat menjadi bank pelaburan utama Malaysia, sebelum kemudianny­a menjadi bank universal utama di ASEAN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia