Berita Harian

Peniaga Darul Qiyyam Mall hampir gulung tikar

Ahli Parlimen Kubang Pasu ambil langkah bantu majukan kompleks

- Oleh Noorazura Abdul Rahman

Bukit Kayu Hitam

Seramai 30 peniaga Darul Qiyyam Mall, di sini, menanti masa untuk ‘gulung tikar’ selepas kompleks belibelah berkenaan gagal menarik perhatian pelancong Malaysia dan Thailand.

Tinjauan mendapati, hanya beberapa peniaga yang memiliki premis di laluan depan kompleks saja mampu meraih jualan, sedangkan lebih ramai peniaga dalam pusat beli-belah itu gagal menjual barangan mereka.

Peniaga, Roshada Din, 49, berkata ada kalanya dia langsung tidak menerima pelanggan selama beberapa hari melainkan pada musim cuti sekolah.

“Sejak Darul Qiyyam Mall dibuka pada 2016, saya pernah mencatat jualan RM70 sebulan, sedangkan saya perlu membayar sewa RM600 kepada Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP). “Saya hanya mampu bertahan kerana MDKP memberi kebenaran menangguh dan membuat bayaran secara ansuran.

“Pada musim cuti, jualan saya pernah mencatat RM300 sebulan, namun saya masih rugi dan terpaksa menggunaka­n gaji suami untuk membayar sewa,” katanya yang menjual pakaian dan permainan anak patung.

Seorang lagi peniaga, Saiful Rashid, 22, berkata ramai peniaga hanya membuka kedai pada hujung minggu dan ada yang menutup terus perniagaan mereka.

Kompleks cukup selesa

Katanya, pelbagai barang membabitka­n pakaian, peralatan dapur, periuk kukus, kasut, permainan kanak-kanak, makanan, kudapan serta minuman dijual di lot kedai, namun ia masih gagal menarik perhatian pengunjung.

“Kompleks perniagaan ini cukup selesa dengan kemudahan surau, tandas dan parkir kereta yang luas, tetapi satu kerugian jika ia tidak berkembang seperti sepatutnya.

“Sudah sampai masanya MDKP menyediaka­n kemudahan diperlukan seperti hentian bas, mesin pengeluara­n wang automatik (ATM) dan medan selera yang selesa untuk menarik pengunjung kerana jika dibiarkan premis ini akan terus lengang dan tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata beliau sudah mengadakan perbincang­an bersama wakil Kompleks Imigresen, Kastam, Quarantin dan Keselamata­n (CIQS) Bukit Kayu Hitam untuk menjadikan Darul Qiyam Mall sebagai pusat hentian kenderaan pengangkut­an awam.

“Kita juga mencadangk­an MDKP mengkaji faktor yang boleh menjadi daya penarik lebih ramai pengunjung datang ke Darul Qiyyam Mall sama seperti di Padang Besar, Perlis,” katanya.

Saya hanya mampu bertahan kerana MDKP memberi kebenaran menangguh dan membuat bayaran secara ansuran” Roshada Din, Peniaga

 ?? [FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN /BH] ?? Amiruddin (dua dari kanan) bersama pegawai ketika lawatan ke Darul Qiyyam Mall, Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.
[FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN /BH] Amiruddin (dua dari kanan) bersama pegawai ketika lawatan ke Darul Qiyyam Mall, Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia