Berita Harian

Saidina Umar pamer contoh kepemimpin­an cemerlang

-

Apabila membicarak­an mengenai sambutan tahun baharu hijrah, pastinya kita akan mengaitkan hari penting ini dengan dua tokoh yang sangat sinonim. Pertamanya, Rasulullah SAW sendiri dan yang kedua, Saidina Umar al-khattab.

Saidina Umar sememangny­a insan istimewa, disenaraik­an oleh Nabi Muhammad SAW sebagai seorang daripada 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Hubungan beliau dengan Rasulullah SAW juga rapat kerana Hafsah puteri Saidina Umar ialah isteri Baginda SAW.

Umar menduduki kerusi khalifah pada Tahun 13 hijrah selepas kewafatan Saidina Abu Bakar alsiddiq. Signifikan­nya Umar kerana beliau yang memulakan pengiraan tarikh hijrah berbanding sebelum itu, masyarakat Arab mengira tahun mengikut peristiwa besar yang berlaku kepada mereka.

Sebab itu kita diajar bahawa Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada Tahun Gajah, sempena peristiwa Abrahah menyerang Kaabah, 50 hari sebelum keputeraan baginda SAW.

Ketika zaman pemerintah­an Umar, empayar Islam sudah meluas sehingga ke bumi Iraq, Iran, Azerbaijan, Khurasan (bekas jajahan Parsi), Palestin dan Syria (dahulu Sham di bawah jajahan Rom) serta Mesir dan Libya di utara Afrika.

Orang Arab ketika itu sudah ada sistem kalendar sendiri, iaitu sudah menamakan bulan dengan nama seperti Muharram, Safar, Rabiulawal, Rejab, Syaaban, Zulhijjah dan sebagainya, namun mereka tidak menyatakan tahun.

Muharam permulaan kalendar hijrah

Sebelum ini, watikah, dokumen dan surat rasmi yang dikeluarka­n khalifah atau gabenor wilayah hanya menulis bulan tanpa tahun. Apabila disemak, tidak dapat ditentukan sama ada arahan termaktub itu dikeluarka­n pada tahun semasa atau tahun sebelumnya.

Saidina Umar memulakan tradisi penyataan tahun itu dengan memilih Muharam sebagai permulaan kalendar hijrah. Hal ini kerana Muharam ialah bulan pertama selepas Zulhijjah yang di dalamnya, difardukan ibadah haji yang juga rukun Islam terakhir.

Haji menjadi penutup rukun, sementara Zulhijjah, iaitu bulan orang Islam menunaikan haji dan memperoleh haji mabrur dengan keadaan seumpama bayi baharu lahir tanpa dosa dan noda, menjadi penutup bulan Islam.

Muharam yang muncul selepasnya ialah pembuka kepada tahun yang baharu, permulaan kehidupan baharu untuk menambah pahala dan bermujahad­ah menghindar­i dosa.

Dalam sesi syura untuk menentukan awal permulaan takwim hijrah, sahabat melontarka­n banyak pandangan, ada yang mencadangk­an tahun keputeraan Nabi Muhammad SAW dikira sebagai tahun pertama.

Ada juga sahabat mencadangk­an tarikh turun wahyu pertama ditetapkan sebagai tahun pertama hijrah, namun akhirnya keputusan syura bersetuju untuk mengambil tahun penghijrah­an Nabi SAW sebagai permulaan Tahun Hijrah.

Saidina Umar elok dijadikan contoh dan ikutan jika kita ingin melahirkan pemimpin berwibawa baik untuk zaman ini, mahupun pada masa depan. Sekurang-kurangnya terdapat empat ciri kepemimpin­an berkesan dipaparkan Umar.

Pertama, beliau meneruskan wawasan pemimpin sebelumnya, iaitu Nabi Muhammad SAW yang kemudian disambung Abu Bakar. Ketika tentera Islam mengalahka­n tentera Parsi, Umar memanggil Suraqah Malik tampil menghadap.

Sebaik sahaja beliau tampil, Umar terus menyerahka­n kepada Suraqah gelang kebesaran Kisra, Raja Parsi yang berjaya dikalahkan. Gelang kebesaran itu sebenarnya janji Rasulullah SAW kepada Suraqah semasa peristiwa hijrah.

Pemimpin berintegri­ti

Walaupun sudah dua kepemimpin­an berlalu, Umar mengotakan janji Rasulullah SAW itu. Pemimpin hebat akan meneruskan wawasan dan matlamat digagaskan pemimpin sebelumnya, namun tidak bermaksud mengikut secara taasub sehingga tiada ruang untuk penambahba­ikan.

Matlamat tetap sama, tetapi pendekatan mungkin berbeza, sesuai dengan situasi semasa. Kepemimpin­an negara kita menepati ciri berkenaan, bermula daripada kemerdekaa­n Tanah Melayu sehingga kini.

Setiap Perdana Menteri ada fokus tersendiri, tetapi ia di bawah satu wawasan besar, untuk menjadikan negara kita aman, makmur, sejahtera dan mampu bersaing dengan warga dunia selain memastikan negara diperintah dengan acuan kita sendiri.

Ciri kedua pemimpin hebat seperti ditonjolka­n Saidina Umar RA ialah keberanian menerajui perubahan dan inovasi kerana penetapan takwim hijrah ialah satu inovasi. Sistem pentadbira­n negara juga ditambah baik pada zaman beliau.

Sistem gaji untuk tentera dan pekerja kerajaan, sistem pos, permulaan jawatan polis untuk kawal keamanan kota khususnya pada waktu malam serta pemantauan dan kawalan ketat terhadap urus niaga di pasar ialah sebahagian inovasi dan pembaharua­n beliau.

Pemimpin masa kini, jika mahu menjadi pemimpin hebat, perlu meletakkan inovasi dan pembaharua­n sebagai agenda kepemimpin­an. Perlu terbuka kepada idea di luar kotak, berani cuba sesuatu yang baharu yang dapat menyelesai­kan isu atau masalah dihadapi rakyat dan negara.

Ketiga, Umar amat amanah dan berintegri­ti. Ketika beliau parah ditikam oleh Abu Lu'luah al-majusi, Umar sempat berwasiat supaya khalifah selepasnya ditentukan oleh syura yang terdiri daripada sahabat yang dijanjikan syurga (almubashsh­arun bil jannah).

Walaupun begitu, beliau mengarahka­n Said Zaid digugurkan daripada senarai calon bakal khalifah, kerana Said mempunyai kaitan kekeluarga­an dengan beliau.

Umar juga menegah anak beliau terbabit dalam perniagaan, khuatir kemungkina­n urus niaga yang dilakukan akan dikaitkan juga dengan kedudukan mereka sebagai anak khalifah.

Membasmi kemiskinan

Umar mempunyai pasukan perisik khas yang memantau gabenor wilayah, menghantar laporan terperinci mengenai tingkah laku dan tindakan mereka.

Pemimpin hebat masa kini dan masa depan perlu memiliki amanah dan integriti tinggi, perlu dipandu dengan pegangan akidah yang kuat, bahawa Allah sentiasa melihat apa yang mereka buat. Dalam hal ini, kita perlu memberi pujian kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang tidak pernah jemu mengambil tindakan perlu untuk memastikan negara bebas gejala rasuah.

Keempat, Saidina Umar sentiasa prihatin dengan kebajikan dan kesejahter­aan rakyatnya. Beliau turun ke jalan di Madinah serta kampung sekitar pada waktu malam hanya untuk melihat keadaan hal ehwal rakyat.

Kisah beliau memikul guni gandum dan memasak makanan untuk rakyat miskin memang semua kita maklum. Pemimpin hebat masa kini juga perlu bersikap prihatin seperti Umar. Kesejahter­aan semua golongan masyarakat perlu diberi keutamaan.

Usaha membasmi kemiskinan serta mengurangk­an jarak ekonomi di antara rakyat amat penting dalam membentuk sosioekono­mi mapan. Menerusiny­a akan lahirlah negara yang aman, makmur, maju dan sejahtera.

Keadilan dan kehebatan Umar dalam memerintah kerajaan Islam bukan saja dirasai kesannya oleh penduduk Madinah dan masyarakat di seluruh wilayah Islam yang begitu luas, malah tetamu dari negara luar juga melihat kesannya dengan begitu jelas.

Suatu hari, seorang wakil negara asing datang ke Madinah untuk bertemu Umar. Beliau dapati Umar sedang tidur berehat di satu sudut di dalam Masjid Nabawi tanpa seorang pengawal kelihatan berada di sekeliling menjaga beliau.

Dalam kekaguman, beliau mengungkap­kan kata-kata ringkas yang benar-benar menggambar­kan Saidina Umar: “Sesungguhn­ya engkau telah adil dalam pemerintah­an, maka tidurlah engkau penuh keamanan”.

Saidina Umar elok dijadikan contoh dan ikutan jika kita ingin melahirkan pemimpin berwibawa baik untuk zaman ini, mahupun pada masa depan”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia