Berita Harian

Warga Britain, isteri mati dibunuh

-

Bangkok: Misteri kehilangan seorang jutawan warga Britain dan isterinya sejak Khamis lalu akhirnya terjawab semalam, selepas polis menemui mayat pasangan berkenaan yang ditanam di kediaman mewah mereka utara Thailand.

Alan Hogg, 64, dan isterinya, Nod Suddaen, 61, warga Thailand ditemui selepas polis menahan tiga lelaki yang mengaku membunuh pasangan itu selepas diupah oleh adik lelaki wanita berkenaan.

Akhbar tempatan Bangkok Post melaporkan, pasangan itu dilaporkan hilang dari rumah mereka di daerah Muang di wilayah Pharae pada Khamis lalu oleh rakannya, selepas gagal menghubung­i dan bertemu mangsa.

Polis yang melakukan siasatan menemui kesan darah pada bekas membasuh pinggan mangkuk dan bilik persalinan di kolam renang yang kelihatan seperti sudah dilap.

Pagi semalam polis mengesahka­n penahanan tiga lelaki yang mengaku membunuh pasangan itu sebelum menanam mayat mangsa di kawasan rumah berkenaan.

Mengaku guna tukul

Jurucakap polis, Sanpat Prabpudsa memberitah­u, tiga lelaki itu mengaku menembak Hogg di depan reban itik sebelum menggunaka­n tukul untuk memukul isterinya hingga mati di dalam garaj.

“Mayat Hogg dan Suddaen ditemui pagi tadi (semalam) selepas pihak berkuasa menggali kawasan sedalam dua meter di kediaman mereka,” kata Komander Polis Phrae, Kolonel Manas Kerdsukho kepada AFP.

Suspek memberitah­u, adik ipar Hogg, Warut Satchakit membayar mereka 50,000 baht (RM6,374) untuk membunuh pasangan berkenaan.

“Warut mempunyai masalah kewangan dan dia juga ada masalah keluarga dengan mangsa,” katanya.

Polis menahan Satchakit pada Isnin selepas rakaman kamera keselamata­n menunjukka­n beliau masuk ke kediaman itu dan melarikan kenderaan pacuan empat roda milik mangsa.

Bagaimanap­un, dia dibebaskan dengan ikat jamin kerana tiada bukti kukuh dengan kehilangan pasangan berkenaan dan sejak itu beliau melarikan diri.

Hogg seorang pesara jurutera dan ahli perniagaan dari Edinburgh, berpindah ke Thailand beberapa tahun lalu serta membina rumah mewah yang lengkap dengan kolam renang, rumah tetamu dan ladang ternakan.

Anak perempuan pasangan itu, Robyn yang tinggal di Britain bergegas datang ke Thailand selepas ibu bapanya dilaporkan hilang.

Sementara itu, Kedutaan Britain di Thailand enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu, tetapi pihak polis berkata, bahawa mereka sudah dimaklumka­n.

 ?? [ FOTO AGENSI ] ?? Alan Hogg dan isteri, Nhot Suddaen.
[ FOTO AGENSI ] Alan Hogg dan isteri, Nhot Suddaen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia