Berita Harian

Aksi hidup mati skuad muda

Barisan Teong Kim tiada pilihan kecuali menang

- Oleh Zulfaizan Mansor

Kejayaan pasukan Bawah 23 (B-23) kebangsaan menamatkan badi gagal menundukka­n Korea Selatan selama 44 tahun perlu dijadikan motivasi buat pasukan B-16 berdepan Jepun petang ini.

Bulan lalu, skuad B-23 kebangsaan melakar kejutan besar apabila menundukka­n Korea Selatan 2-1 pada peringkat kumpulan temasya Sukan Asia Jakarta-palembang.

Pasukan bimbingan Lim Teong Kim akan membuat perhitunga­n dengan skuad Samurai Biru pada Kejohanan B-16 Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 4.30 petang ini.

Perlawanan ini dianggap sebagai ‘hidup mati’ kerana Malaysia tiada pilihan kecuali memenangin­ya jika ingin meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir.

Kegagalan Jepun meraih kemenangan ke atas Tajikistan kelmarin dilihat memberikan petanda positif buat skuad B-16 menjelang aksi terakhir Kumpulan A itu walaupun rekod kurang baik dicatatkan anak buah Teong Kim sepanjang pertemuan dengan Jepun.

Namun, mereka perlu lebih berwaspada dengan strategi yang cuba dimainkan lawannya itu termasuk tindakan pengendali­nya, Yoshiro Moriyama merehatkan tujuh pemain utama ketika berdepan Tajikistan.

Malah, Moriyama turut dikatakan menghantar beberapa ‘pengintip’ bagi mengkaji corak permainan Malaysia ketika berdepan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

“Kami turun (ke gelanggang) untuk menang kerana tiada jalan lain lagi bagi Malaysia. Kami akan bermain seperti biasa, sama ketika berdepan pasukan lain sebelum ini.

Ada peluang

“Situasi dalam kumpulan sekarang ini semua pasukan memiliki peluang untuk layak ke suku akhir. Jadi semua akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang, termasuk kami,” kata Teong Kim ketika temui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Jika melihat kepada rekod pertemuan, kelebihan tampak memihak kepada Jepun. Pada pertemuan terakhir dalam Kumpulan J pusingan kelayakan kejohanan ini pada September tahun lalu menyaksika­n Malaysia tewas 0-4.

Namun, rekod itu juga tidak boleh dijadikan alasan utama buat anak didik Teong Kim untuk tidak mampu melakar kejutan besar di hadapan penyokong sendiri.

Selain itu, Teong Kim turut tidak mendedahka­n nama pemain yang akan menggantik­an Luqman Hakim Shamsudin kerana digantung satu perlawanan susulan kad merah yang diterima pada pertemuan dengan Thailand.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia