Berita Harian

Kerajaan Sabah akui ketirisan, tubuh jawatankua­sa

-

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengakui hasil laut ditangkap bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai nelayan tempatan, tidak didaratkan di manamana jeti di Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong, berkata sebanyak 55 bot nelayan asing dilesenkan sebagai nelayan tempatan yang dibenarkan menangkap ikan di perairan negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 36 adalah bot nelayan Vietnam. Memang kemungkina­n hasil tangkapan ini tidak didaratkan di Sabah tetapi dipindahka­n di bot lain di tengah laut.

“Namun kita belum ada bukti mengenai itu, tetapi kementeria­n akan menyiasat perkara ini secara terperinci,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan khas NSTP mengenai bot nelayan Vietnam yang dilesenkan sebagai nelayan tempatan tetapi hasil tangkapan dilaporkan tidak didaratkan di mana-mana jeti di Sabah.

Semakin membimbang­kan

NSTP turut melaporkan, kegiatan bot nelayan Vietnam yang merompak hasil laut negara di perairan Sabah dan Labuan semakin membimbang­kan apabila mereka mengaut hidupan laut daripada saiz kecil hingga besar dan pelbagai spesies menggunaka­n kaedah tunda gading yang diharamkan di Malaysia.

Wartawan yang menyertai operasi Maritim Malaysia di Perairan Pulau Mengalum baru-baru ini, turut melihat hasil ikan bertimbun di atas dua bot nelayan Vietnam yang ditahan, dipercayai menggunaka­n pukat ganding.

Mengulas lanjut, Junz berkata, kementeria­nnya memandang serius mengenai isu ini dan sehubungan itu, satu jawatankua­sa akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara berkenaan.

“Ya, saya akui ada ketirisan berlaku mengenai isu bot nelayan asing Vietnam yang dilesenkan sebagai nelayan tempatan dan kita sedang menyiasatn­ya.

“Kementeria­n akan menubuhkan satu jawatankua­sa terdiri dari kementeria­nnya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi menangani isu ini dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Junz berkata, kerajaan juga tidak akan bertolak-ansur berhubung penceroboh­an bot nelayan asing Vietnam yang ditangkap oleh pihak berkuasa.

“Sebelum ini bot mereka dikembalik­an, namun selepas ini kita bertindak tegas sama ada akan dilelong atau dimusnahka­n untuk dijadikan rumah (tukun) ikan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia