Berita Harian

5,320 kotak rokok RM115,525 dirampas

-

Kuching: Sebuah rumah di Jalan Stakan di sini, yang sering dikunjungi sebuah van putih untuk mengambil bekalan rokok seludup dari ‘seberang’ diserbu polis semalam.

Serbuan jam 10 pagi itu dijalankan sepasukan tujuh pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak bersama Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil risikan sejak dua minggu lalu.

Hasilnya, sebanyak 5,320 kotak rokok pelbagai jenis bernilai RM115,525 yang belum dikenakan cukai dirampas di dalam sebuah stor di tepi rumah berkenaan.

Komander PGA Briged Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin, berkata pasukan risikan sebelum itu menahan sebuah van dinaiki dua lelaki berusia 21 dan 35 tahun berhampira­n rumah berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigak­an.

Katanya, hasil pemeriksaa­n, polis pada mulanya menemui 20 kotak minuman keras yang tidak mempunyai kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di dalam van berkenaan.

Sumber tak sah

“Selepas disoal siasat, pasukan serbuan kemudian dibawa ke sebuah rumah yang dihuni seorang lelaki berusia 65 tahun.

“Pemeriksaa­n lanjut kemudian mendapati rumah berkenaan mempunyai sebuah stor yang dijadikan tempat penyimpana­n rokok seludup,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di Batu Kawa, di sini semalam.

Beliau berkata, suspek gagal mengemukak­an sebarang dokumen kebenaran atau bayaran duti kepada kerajaan selain disyaki diperoleh daripada sumber tidak sah.

Katanya, suspek kini ditahan dan polis percaya rokok yang dirampas akan dijual di sekitar bandar ini.

“Polis juga tidak menolak kemungkina­n sindiket pengedaran rokok seludup sering bertukar lokasi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Semua suspek yang ditahan bersama rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat JKDM untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia