Berita Harian

Mayat bayi ditemui terapung dalam kolam

Penduduk kampung hubungi polis selepas lihat ‘objek’ mencurigak­an

- Oleh Mohd Nazllie Zainul

Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan terapung di sebuah kolam terbiar di Kampung Kuala Binsulok, dekat Membakut di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, penduduk kampung digemparka­n dengan penemuan bayi malang yang dipercayai baru dilahirkan tiga hingga empat hari lalu.

Ketua Polis Beaufort, Deputi Superinten­dan Azmir Abd Razak, berkata mayat bayi berkenaan dijumpai di kolam terbabit yang terletak berhampira­n gelanggang futsal dan kediaman penduduk.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang penduduk dikenali sebagai Awang Fauzi membuat laporan polis berhubung penemuan satu objek disyaki mayat bayi oleh rakan sekampung, Awang Madun Estor sebelum memintanya menghubung­i polis.

“Menurut saksi yang menemui mayat berkenaan, kejadian disedariny­a ketika pulang dari pasar untuk membeli ikan. Ketika tiba di lokasi kejadian, dia terlihat satu objek terapung seperti anak patung di kolam terbiar bersebelah­an rumahnya.

Bau busuk

“Disebabkan curiga, dia memberhent­ikan keretanya untuk melihat objek terbabit sebelum mendapati ia adalah mayat bayi dalam keadaan sudah berbau busuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azmir berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati jantina bayi itu adalah lelaki yang baru lahir dan cukup sifat, selain masih mempunyai tali pusat, namun keadaannya sudah mula reput dan berbau.

Katanya, lokasi kejadian berlaku di kawasan rumah saksi yang terletak bersebelah­an kolam terbiar ditumbuhi lalang .

“Mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Kuala Penyu di sini, untuk pemeriksaa­n sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu untuk bedah siasat

“Kita turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu untuk tampil menyalurka­n maklumat kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ghazali Kasmani di talian 011-20601567,” katanya.

 ?? [ FOTO IHSAN PEMBACA ] ?? Mayat bayi lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam kolam terbiar di Kampung Kuala Binsulok, Membakut.
[ FOTO IHSAN PEMBACA ] Mayat bayi lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam kolam terbiar di Kampung Kuala Binsulok, Membakut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia