Berita Harian

Kurangkan risiko kemalangan

-

Kuala Lumpur: Hentaman sebuah kereta seberat 1,100 kilogram (kg) dengan kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) ketika kemalangan, sama seperti terjun dari tingkat 11 bangunan atau ketinggian 57 meter (m).

Ketua Pengarah Jabatan Keselamata­n Jalan Raya (JKJKR), Datuk Rosli Isa, berkata demikian bagi menggambar­kan secara mudah kedudukan momentum dalam menentukan kadar had laju bersesuaia­n bagi sesebuah kenderaan di jalan raya.

Justeru, beliau yakin kesedaran mengenai status momentum dalam had laju termasuk bagi kenderaan berat, mampu mengurangk­an risiko kemalangan termasuk kematian di jalan raya.

Katanya, walaupun peratusan kemalangan membabitka­n kenderaan berat tidak setinggi motosikal, ia masih antara penyumbang sampingan kepada kes kemalangan maut yang direkodkan saban tahun.

“Kita ambil contoh perlanggar­an di antara lori dan motosikal, risiko maut pasti lebih tinggi kepada penunggang motosikal berbanding pengguna kenderaan berat. Dengan kesedaran mengenai kaitan momentum dan had laju, risiko kemalangan boleh dikurangka­n apabila setiap pengguna jalan raya memiliki kesedaran tinggi bahawa semakin laju pemanduan, nyawa diri dan orang lain berada dalam bahaya,” katanya.

Ambil kira empat faktor

Mengulas penepatan had laju kebangsaan, beliau berkata perkara itu di bawah bidang kuasa jawatankua­sa khas di Kementeria­n Kerja Raya yang mengambil kira kira empat faktor utama, iaitu kawasan kepadatan penduduk di mana semakin ramai penduduk di sesebuah kawasan, semakin perlahan kadar had laju ditetapkan.

“Selain itu kadar had laju juga semakin perlahan apabila menghampir­i plaza tol dan susur keluar. Faktor seterusnya ialah kedudukan geografi seperti angin lintang, kawasan berbukit atau berliku,” katanya.

Mengenai keadaan lebuh raya di negara ini, katanya, ia menepati spesifikas­i cengkaman tayar kenderaan dengan kadar had laju 120 km/j, namun perlu diambil kira rekod kemalangan yang lebih tinggi di jalan persekutua­n.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh, berkata setakat ini belum ada cadangan untuk menyemak semula kadar had laju kebangsaan bagi kenderaan berat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia