Berita Harian

Dr Wan Azizah lawat Indonesia hari ini

Pertemuan dengan Jusuf Kalla dijangka bincang dasar Malaysia Baharu

- Oleh Muhd Izawan Baharin

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan lawatan kerja sehari ke Indonesia, hari ini, iaitu lawatan pertama beliau sejak dilantik Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei lalu.

Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zamshari Shaharan, berkata pada lawatan itu, Dr Wan Azizah dijangka mengadakan pertemuan rasmi kali pertama dengan Naib Presiden Republik Indonesia, Jusuf Kalla.

“Pada pertemuan ini, Timbalan Perdana Menteri dijangka membincang­kan dasar Kerajaan Malaysia Baharu, sekali gus memperkuku­hkan lagi hubungan antara dua negara.

Bertukar pandangan

“Beliau seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pemberdaya­an Perempuan dan Perlindung­an Anak, Yohana Susana Yembise bagi bertukar pandangan berkaitan pembanguna­n wanita serta keluarga,” katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Zamshari berkata, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengambil kesempatan menyaksika­n acara Sukan Para Asia 2018 di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno, di sini.

“Kita juga akan mengatur pertemuan beliau dengan atlet Malaysia dan saya percaya ia akan dapat menaikkan lagi semangat atlet kita pada temasya sukan ini,” katanya.

Beliau berkata, Dr Wan Azizah selaku Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Pusat meneruskan lawatan kerjanya ke Pusat Penyelaras­an Bantuan Kemanusiaa­n ASEAN (AHA Centre) bagi melihat secara dekat koordinasi sukarelawa­n dari 10 negara ASEAN menyalurka­n bantuan kepada negara anggota yang dilanda bencana.

“Menariknya mengenai AHA Centre ialah koordinasi antara negara. Indonesia adalah penyelaras bagi bantuan kemanusiaa­n manakala gudang simpanan bantuan itu pula berada di Subang, Selangor.

“Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis minum petang dan dialog dengan 20 pemain industri Indonesia bagi berkongsi peluang pelaburan di Malaysia,” katanya.

Zamshari berkata, lawatan kerja berakhir selepas Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Jakarta di Kedutaan Besar Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia