Berita Harian

Malaysia dapat sijil pengesahan singkir jangkitan HIV, sifilis

-

Putrajaya: Malaysia menjadi negara pertama di rantau Pasifik Barat berjaya memperoleh sijil pengesahan penyingkir­an jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak atau EMTCT daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Majlis penyerahan sijil berkenaan disempurna­kan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu­s kepada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad semalam, sempena Mesyuarat Jawatankua­sa Serantau WHO bagi Asia-pasifik di Manila, Filipina.

Dzulkefly berkata, kejayaan ini cukup bermakna kerana Malaysia menjadi negara ke12 di dunia dianugerah­kan sijil berkenaan.

Beliau berkata, pengiktira­fan diberikan itu menandakan Malaysia sudah mencapai satu tahap kesihatan amat membanggak­an apabila jangkitan HIV dan sifilis melalui transmisi ibu kepada anak (jangkitan vertikal) tidak lagi menjadi ancaman kesihatan awam yang utama.

“Jangkitan HIV melalui transmisi ibu kepada anak adalah penyebab utama jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak.

“Tanpa pencegahan bersesuaia­n, dianggarka­n kira-kira 30 hingga 45 peratus kanakkanak dilahirkan ibu HIV positif akan mendapat jangkitan sama ada ketika dalam kandungan, semasa proses kelahiran atau melalui penyusuan ibu.

Projek rintis

“Bagi mengatasi masalah itu, Kementeria­n Kesihatan melaksanak­an projek rintis bagi mencegah transmisi itu pada 1997 sebelum diperluask­an ke seluruh negara pada 1998,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dzulkefly berkata, projek rintis itu berjaya menurunkan kadar jangkitan transmisi HIV daripada ibu kepada anak kepada kurang dua peratus pada 2016, iaitu menepati petunjuk ditetapkan untuk status penyingkir­an.

Beliau berkata, transmisi jangkitan sifilis daripada ibu kepada anak sentiasa rendah dengan bilangan kes siflis kongenital dilaporkan di bawah 50 kes daripada 100,000 kelahiran hidup.

Beliau berkata, pada 2016, Malaysia mencatat bilangan sifilis kongenital empat kes saja bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

“Kejayaan ini hasil perkhidmat­an ibu dan anak yang cemerlang di Malaysia. Hasilnya, lebih 95 peratus ibu mengandung hadir ke klinik untuk pemeriksaa­n dan jagaan antenatal sekurang-kurangnya sekali.

“Selain itu, lebih 95 peratus ibu mengandung sudah menjalani saringan HIV dan sifilis, lebih 95 peratus ibu HIV positif menerima rawatan antretrovi­ral dan semua ibu dikesan mengidap sifilis sudah menerima rawatan sesuai,” katanya.

Pencapaian negara dalam EMTCT bagi dua penyakit, iaitu HIV dan sifilis adalah pemangkin kepada kementeria­n meneruskan EMTCT bagi Hepatitis B.

Difahamkan, beberapa negeri di Malaysia akan memulakan saringan Hepatitis B dalam kalangan ibu mengandung secara rintis dan akan diperluask­an ke seluruh negara secara berperingk­at.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia