Berita Harian

Tiga negeri Utara penentu saingan Azmin, Rafizi

Peluang Menteri Hal Ehwal Ekonomi lebih cerah jika dapat sokongan Selangor

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Keputusan akhir persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR di antara penyandang­nya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Rafizi Ramli dijangka ditentukan dengan keputusan pemilihan di Perak, Kedah dan Perlis.

Walaupun Rafizi ketika ini mendahului saingan selepas menang di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutua­n berbanding Mohamed Azmin yang menang di Pulau Pinang dan Johor, keputusan itu dijangka berubah apabila enam lagi negeri mengadakan pemilihan pada minggu berikutnya.

Penganalis­is politik, Prof Dr Jayum Jawan, berkata titik penentu kepada Mohamed Azmin sama ada mampu atau tidak mempertaha­nkan jawatannya itu turut bergantung kepada keputusan ahli PKR bagi cabang di Selangor yang selama ini menjadi kubu kuat bekas Menteri Besar Selangor itu.

Katanya, peluang bagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mempertaha­nkan jawatannya akan lebih cerah jika cabang di Selangor memberikan sokongan majoriti kepadanya.

“Saya tidak fikir cabang di Selangor tidak menyokong Mohamed Azmin kerana ia kubu kuat beliau. Beliau sudah melakukan yang terbaik untuk Selangor selama menjadi menteri besar.

“Bagi Rafizi, keputusan positif yang beliau capai setakat ini adalah satu kemenangan moral. Bagi seorang yang tiada jawatan dalam kerajaan, tetapi mampu menang di empat negeri, ia memberangs­angkan bagi beliau sebagai calon underdog.

“Rafizi menang di pantai timur di kawasan majoriti Melayu, tetapi di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, ia berbeza walaupun Melayu majoriti. Mungkin keputusan di tiga negeri utara Semenanjun­g akan menjadi penentu kepada persaingan mereka berdua.

“Jika di Sabah dan Sarawak, lagi ramai bukan Melayu mungkin turut mempengaru­hi keputusan keseluruha­n nanti,” katanya kepada NSTP, semalam.

Rafizi peroleh 19,161 undi

Selepas pengundian selesai di enam negeri, Mohamed Azmin mendapat 19,112 undi, manakala Rafizi memperoleh 19,161 undi.

Mengikut laman sesawang Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, pemilihan di Selangor akan diadakan menerusi tiga siri, iaitu pada 14, 21 dan 28 Oktober ini kerana membabitka­n sehingga 22 cabang, manakala pemilihan PKR Melaka dan Negeri Sembilan pada 20 Oktober.

Pemilihan di Perlis juga diadakan pada 21 Oktober, manakala Perak pada 27 Oktober dan dua hari di Kedah iaitu 26 dan 27 Oktober ini.

Sementara itu, pemilihan di Sabah akan berlangsun­g dua hari iaitu 3 dan 4 November dan Sarawak pada 10 November.

Mengulas kelebihan dimiliki dua pemimpin PKR itu, Jayum yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamaduna­n, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Mohamed Azmin dilihat lebih menonjol kerana berpengala­man dalam pentadbira­n kerajaan dan kini menjawat jawatan penting dalam komponen parti kerajaan.

“Rafizi pula orang penting dalam PKR kerana beliau seorang ahli strategi parti. Pengalaman­nya membina PKR amat berharga kepada parti. Kedua-duanya orang penting dalam parti, malangnya hanya satu pemenang sahaja akan dipilih,” katanya.

Kedua-duanya orang penting dalam parti, malangnya hanya satu pemenang sahaja akan dipilih” Jayum Jawan, Penganalis­is politik

 ?? [FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/BH] ?? Ahli PKR beratur ketika mengundi pemilihan cabang Lembah Pantai di Pantai Eco Park, kelmarin.
[FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/BH] Ahli PKR beratur ketika mengundi pemilihan cabang Lembah Pantai di Pantai Eco Park, kelmarin.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia