Berita Harian

Terharu tatap ‘The Asian Renaissanc­e’ versi Tamil

-

Port Dickson: Selepas 20 tahun dihasilkan, terjemahan bahasa Tamil buku berjudul The Asian Renaissanc­e tulisan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, didedahkan malam kelmarin.

Majlis prapelanca­ran buku setebal 220 muka surat itu disempurna­kan Anwar yang juga calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada majlis ceramah komuniti India di Ladang Siliau di sini.

Ketua Umum PKR itu mengakui terharu dan sukar menggambar­kan perasaan apabila dapat memperkena­lkan sendiri buku dihasilkan­nya dalam bahasa Inggeris tetapi diterjemah­kan ke dalam bahasa Tamil selepas dua dekad.

“Tidak ada kata-kata, saya sangat gembira dengan (versi Tamil) itu,” katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 masyarakat India itu.

Diterjemah kira-kira 20 tahun lalu

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Penerbit Tamil Malar, Saraswathy Kandasamy, berkata buku versi Tamil itu diterjemah kira-kira 20 tahun lalu oleh mendiang Athi Kumanan yang ketika itu ketua pengarang akhbar Malaysia Nanban.

“Ia tidak dapat dilancarka­n ketika itu dan kami cuba melancarka­nnya pada September 1998, namun Anwar dipenjarak­an.

“Pada 2013, kami cuba melancarka­nnya tetapi beliau ditahan kali kedua. Usaha untuk melancarka­nnya pada 29 September lalu juga terbantut kerana hari penamaan calon.

“Akhirnya hari ini kami dapat melakukan prapelanca­ran selepas 20 tahun,” katanya sambil menambah pelancaran rasmi secara besar-besaran akan dibuat selepas PRK ini.

Katanya, pelancaran rasmi dijangka dilakukan Pengarah Urusan Penerbitan Tamil Malar, Datuk M Periyasamy, bersama Pengerusi akhbar Tamil Malar, OMS P Thiagaraja­n.

Karya itu mengetenga­hkan falsafah tokoh terkenal dunia dan Anwar yang ketika itu Menteri Kewangan, memetik fikiran serta ideologi tokoh terkemuka dunia bagi memajukan masyarakat majmuk di Malaysia.

Tidak ada kata-kata, saya sangat gembira dengan (versi Tamil) itu” Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia