Berita Harian

Calon Bebas buat laporan dakwa Anwar langgar Akta Pilihan Raya

-

Port Dickson: Calon Bebas, Stevie Chan membuat laporan polis mendakwa calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, melanggar Akta Pilihan Raya 1954 sepanjang kempen.

Chan, 51, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, pada jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, tindakan Anwar menjanjika­n projek besar dan melancarka­n program tuisyen percuma pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson melanggar peraturan kempen bersih dan telus.

Tuntut polis, SPRM siasat

Berikutan itu, beliau membuat laporan menuntut polis atau Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalanka­n siasatan memandangk­an Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa siasatan dan pendakwaan terhadap kesalahan Ketua Umum PKR itu.

“Anwar dilaporkan mengumumka­n memperoleh tiga program untuk rakyat Port Dickson iaitu projek pelanconga­n lima bintang, program latihan penerbanga­n dan pendidikan.

“Ini dilaporkan secara meluas oleh media pada 1 Oktober lalu.

“Selain itu, pada 4 Oktober antara jam 3 hingga 6 petang di sebuah hotel di sini, Anwar melancarka­n program tuisyen dalam talian percuma untuk pelajar sekolah di Port Dickson.

“Laman web pdtuition.com dengan jelas menyatakan ia ditaja Anwar,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD di sini, semalam.

Chan berkata, tindakan Anwar yang juga Ketua Umum PKR memaklumka­n kepada pengundi mengenai projek diperoleh dan menaja program tuisyen berkenaan dipercayai melanggar Seksyen 10(a) dan 10(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menyogok.

“Saya membuat laporan ini kerana melihat budaya memberi hadiah dan janji manis yang membelengg­u pilihan raya selama bertahun-tahun masih berterusan.

“Kita mesti berdiri teguh dalam memastikan Malaysia baharu yang dikecapi pada 9 Mei kekal bersih dan bebas politik lama,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia