Berita Harian

Rosmah bayar sebahagian wang jaminan kes 17 tuduhan

-

Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi 17 tuduhan pengubahan wang haram dan kegagalan membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam membayar sebahagian wang jaminan mahkamah sebanyak RM1 juta.

Sebanyak RM500,000 sudah dibayar pada hari Rosmah dituduh di mahkamah pada 4 Oktober lalu.

Wang jaminan sebanyak RM500,000 lagi perlu dijelaskan sebelum Khamis ini bagi mencukupka­n RM2 juta keseluruha­n jaminan yang diperintah­kan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, sebelum ini.

Dua wanita dipercayai rakan Rosmah, tiba di Kompleks Mahkamah itu pada jam 10.15 pagi untuk menjelaska­n bayaran sebelum beredar pada jam 11.14 pagi.

Bagaimanap­un, Rosmah, 67, tidak kelihatan di mahkamah.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan membabitka­n diri dengan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7 juta.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan gagal mengemukak­an penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah didakwa membabitka­n diri dalam pengubahan wang haram dan menyebabka­n hasil daripada aktiviti itu berjumlah RM7,097,750 dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang, dekat sini antara 4 Disember 2013 sehingga 8 Jun 2017.

Bagi perbuatan itu Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Didakwa gagal buat penyata

Rosmah juga didakwa atas lima pertuduhan gagal membuat suatu penyata bagi pendapatan yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank miliknya itu.

Beliau didakwa gagal berbuat demikian sebagaiman­a yang dikehendak­i mengikut Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dengan tiada sebab yang munasabah, bertentang­an dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 sehingga 1 Mei 2018.

Bagi tuduhan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia