Berita Harian

Baja padi RM1.35 juta dirampas

-

Parit Buntar: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 791.97 tan baja padi dianggarka­n bernilai RM1.35 juta yang dipercayai diseleweng di sebuah premis di Taman Pelangi, di sini, semalam.

Serbuan bermula jam 9 pagi bersama Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen pemborong.

Difahamkan, baja yang dirampas di gudang premis berkenaan dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kontrak kerajaan menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutua­n (SBPKP).

Ketua Unit Integriti Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani, Nur Syahidah Chia Abdullah, berkata premis berkenaan dipercayai sudah menjalanka­n operasinya selama lebih tujuh tahun dan hasil risikan dijalankan berjaya mengenal pasti kegiatan penyelewen­gan itu.

“Selama enam bulan pemerhatia­n bersama (SPRM, MOA dan KPDNHEP) kita berjaya mengenal pasti sasaran dan kita menetapkan tarikh (semalam) untuk membuat serbuan dengan kerjasama keseluruha­n seramai 30 anggota.

Siasat punca ketirisan

“Pemilik premis ini adalah seorang lelaki berusia 49 tahun dan siasatan seterusnya akan dijalankan bagi mengetahui punca ketirisan subsidi kerajaan itu,” katanya yang ditemui selepas operasi berkenaan di sini, semalam.

Nur Syahidah berkata, operasi dijalankan bersama SPRM dan KPDNHEP itu adalah yang ketiga selepas kejayaan dua operasi di Johor dan Kedah pada Julai lalu.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahka­n suspek yang juga pemilik premis itu ditahan kerana cuba memberikan suapan kepada anggota penguat kuasa ketika serbuan dijalankan.

“Suspek berusia 49 tahun cuba memberikan rasuah sebanyak RM30,000 kepada anggota penguat kuasa dan SPRM sudah menahannya mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Suspek dibawa ke Pejabat SPRM Perak di Ipoh untuk siasatan selanjutny­a,” katanya.

 ?? [FOTO L MANIMARAN/BH] ?? Kakitangan SPRM, MOA dan KPDNHEP memeriksa baja di sebuah premis di Taman Pelangi, Parit Buntar, semalam.
[FOTO L MANIMARAN/BH] Kakitangan SPRM, MOA dan KPDNHEP memeriksa baja di sebuah premis di Taman Pelangi, Parit Buntar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia