KDNK bukan pengukur tunggal ekonomi
Pelbagai langkah diambil pacu kuasa beli rakyat
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur tunggal kejayaan ekonomi sesebuah negara.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sebaliknya manfaat kepada rakyat perlu diambil kira, yang mana peningkatan ekonomi perlu disusuli pertambahan kuasa beli rakyat.
Beliau menjelaskan, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Menteri-menteri Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-malaysiaThailand (IMT-GT) Ke-24 yang dipengerusikannya minggu lalu.
“Pada mesyuarat itu, kami bersetuju bahawa pertumbuhan dari segi KDNK sahaja tidak boleh dianggap sebagai kejayaan, melainkan ia diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
“Bercakap berdasarkan perspektif Malaysia, pertumbuhan sebenar ekonomi mesti turut membawa maksud kepada peningkatan kuasa beli rakyat.
“Perkara ini mesti ditangani secara menyeluruh dengan memperkenalkan langkah untuk mengatasi ketidaksamarataan pertumbuhan di seluruh negara dan ketidakseimbangan pendapatan, terutama untuk kumpulan B40, kadar pengangguran belia yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Forum Khazanah Megatrends 2018 di Kuala Lumpur, semalam.
Yang hadir sama Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Tangani cabaran struktur masyarakat
Mohamad Azmin berkata, dalam pada itu ada kebimbangan lain, iaitu kaedah menangani cabaran struktur masyarakat seperti meningkatkan produktiviti pekerja, memastikan inovasi dan pelaburan berkualiti serta mendesak industri supaya memacu rantaian nilai ke tahap lebih tinggi.
Kerajaan, katanya, kekal dengan pendirian yang ia mesti terus berkembang dan mengatasi masalah perangkap pendapatan kelas pertengahan untuk menjadi ekonomi maju berpendapatan tinggi.
Antara langkah perlu diambil adalah kerajaan perlu mengubah fokusnya kepada industri baharu, terutama dengan mengadaptasi landskap teknologi global dan menjadikan Malaysia pakar dalam penemuan baharu dalam inovasi dan teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti ekonomi negara.
“Kita juga perlu menangani penurunan eksport elektronik dan elektrikal (E&E) berbanding kenaikan eksport komoditi. Eksport E&E berkurangan daripada tempoh kemuncaknya pada awal 2000 sebanyak 60 peratus kepada 40 peratus pada 2017 manakala eksport komoditi meningkat dari 13 peratus kepada 20 peratus dalam tempoh sama,“katanya.
Pembentangan RMKE-11
Mengulas mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11) minggu depan, Mohamed Azmin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengarang media terlebih dahulu.
“Saya merancang untuk bertemu dengan pengarang media sehari, dua sebelum Perdana Menteri membentangkan RMKE-11.
“Kita akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu mengenai bagaimana kerajaan mahu menangani cabaran baharu yang dihadapinya sekarang. Butirannya akan dikongsikan pada minggu depan,” katanya.