Khazanah belum bincang lantik pengarah warga asing
Dana pelaburan strategik negara perlu pasukan profesional
Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) belum membincangkan tindakan untuk melantik warga asing menganggotai Lembaga Pengarahnya, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kami sudah mengadakan mesyuarat lembaga pengarah yang pertama kira-kira sebulan yang lalu. Tiada perbincangan mengenai perkara berkenaan.
“Kami akan terus berbincang mengenai calon yang bersesuaian. Khazanah perlukan pasukan profesional bagi mengendali dan menguruskannya,” katanya di luar acara Forum Megatrends Khazanah 2018 di Kuala Lumpur, semalam.
Mohamed Azmin yang juga ahli Lembaga Pengarah Khazanah mengakui, dana pelaburan strategik negara itu memerlukan perwakilan yang kuat dalam Lembaga Pengarah, yang faham selok-belok operasi.
Media sebelum ini melaporkan, Khazanah mahu melantik warga asing menganggotai Lembaga Pengarah sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mempelbagaikan kepakaran dimiliki dana pelaburan strategik itu.
Laporan yang memetik sumber itu berkata, pengasas salah satu firma kecerdasan buatan terbesar di China adalah antara calonnya, yang turut mempunyai sokongan gergasi e-perniagaan, Alibaba.
Cabaran baharu
Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga perlu melihat kemunculan cabaran baharu dengan mengguna pakai sebahagian program pembangunan strategik, antaranya membabitkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pelaburan hijau.
“Ia adalah isu yang perlu ditangani oleh Khazanah. Dari sudut komersial, kami melabur dalam syarikat berbeza bagi memastikan pulangan yang diraih adalah baik dan positif,” katanya.
Jelasnya, peranan Khazanah juga adalah untuk terbabit dengan R&D dan membantu kerajaan membangunkan aset strategik.
“Kita memerlukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk jangka panjang yang mampan untuk negara.
“Kita tidak mahu aliran masuk modal jangka pendek yang sudah semestinya akan merangsangkan pasaran saham tetapi adalah tidak mampan.
“Pembabitan negara dalam teknologi tinggi baharu akan menjadi pertumbuhan masa depan dalam menarik FDI ke Malaysia,” katanya.