Berita Harian

Islam perlu pelopori kerangka bangsa

Politik adu domba, perkauman sempit wajar diakhiri

- Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Maslahah ummah dalam konteks Malaysia Baharu perlu diertikan secara luas dan inklusif atau terangkum serta menyeluruh, sekali gus tidak terbatas hanya dalam kalangan umat Islam, bahkan mengambil kira seluruh rakyat.

Dalam merealisas­ikan objektif rahmat sejagat atau Rahmatan Lil Alamin, Islam perlu berperanan aktif mewujudkan keharmonia­n dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018 yang juga Presiden Kolej Dar alhikmah, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, berkata maslahah yang inklusif atau terangkum dan menyeluruh bererti pemerataan khidmat serta manfaat kepada warga kemanusiaa­n sepenuhnya.

“Memang Muslimin bersifat ukhrijat lin-nas, iaitu umat yang ditampilka­n untuk berbakti kepada manusia sejagat.

“Seterusnya, Islam harus mempelopor­i pembentuka­n bangsa Malaysia dalam pengertian ummah siasiyyah (umat politik) mengikut acuan Sahifah Madinah (Perlembaga­an Madinah) berasaskan formula kepelbagai­an dalam bingkai kesatuan.

Hijrah Malaysia Baharu

“Demikian sebahagian daripada moral politik yang seharusnya mencirikan era Malaysia Baharu yang mengakhiri politik adu domba dan perkauman sempit,” katanya pada Syarahan Perdana Hijrah Ke Malaysia Baharu: Mencari Makna Di Sebalik Kata di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini.

Siddiq berkata, hijrah Malaysia Baharu perlu diberikan makna sebagai hijrah pentadbira­n maslahi, iaitu layanan pemerintah terhadap rakyat menerusi dasar yang sejajar dengan maslahah.

Beliau berkata, ia termasuk dasar ekonomi yang adil yang dapat membebaska­n rakyat dari lingkaran kemiskinan.

“Orang miskin tidak memilih untuk menjadi miskin, tetapi dipaksa oleh sistem yang memeras dan menindas.

“Begitu juga dengan negara miskin, mereka bukan tidak mempunyai keinginan membangun dan maju, tetapi dihalang daripada membangun,” katanya.

Justeru, Siddiq berkata, Malaysia Baharu perlu diisi dengan perjuangan menangani semua faktor kemiskinan yang tidak hanya wujud di kawasan pedalaman, bahkan di kota.

Isu pembanguna­n, kemiskinan

“Isu pembanguna­n dan kemiskinan tidak dapat ditangani tanpa mengkaji dalam kerangka politik dan sosial yang lebih luas.

“Kemiskinan berkait rapat dengan pelbagai faktor seperti pendidikan, nilai budaya, dasar ekonomi dan politik. Walaupun kompleks, kemiskinan bukan masalah yang tidak boleh diselesaik­an,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Baharu seharusnya menjadi era baharu bagi Islam untuk berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat pembebasan daripada segala belenggu, termasuk penjajahan ekonomi, baik kuasa luar mahupun penjajahan bangsa sendiri.

Malah kata Siddiq, Malaysia Baharu juga perlu bererti sebagai era baharu bagi demokrasi.

“Proses demokrasi perlu diperhebat segala bentuk kehidupan bangsa dan negara, sekali gus bersifat segar dan subur dalam membudayak­an kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Hijrah ke Malaysia Baharu hanya akan berlaku apabila keadilan sosial terlaksana.

“Selepas 61 tahun merdeka, ternyata masih ada rakyat yang belum menikmati agihan negara secara saksama yang menunjukka­n pemerataan keadilan belum berlaku seperti yang dikehendak­i.

“Agenda pendemokra­sian ekonomi perlu menjadi keutamaan untuk membela nasib mereka yang terabai selama puluhan tahun,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Baharu membawa makna segunung harapan untuk memartabat­kan insan, tegakkan keadilan dan mendaulatk­an kebenaran.

“Segala harapan terbabit hanya dapat direalisas­ikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai agama dan budaya.

“Malaysia Baharu harus melalui anjakan dasar dari era sebelumnya. Namun memenuhi harapan tersirat di sebalik Malaysia Baharu adalah misi besar yang mencabar,” katanya.

 ??  ?? Malaysia Baharu seharusnya menjadi era baharu bagi Islam untuk berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat pembebasan daripada segala belenggu, termasuk penjajahan ekonomi, baik kuasa luar, mahupun penjajahan bangsa sendiri” Dr Siddiq Fadzil, Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018 yang juga Presiden Kolej Dar al-hikmah
Malaysia Baharu seharusnya menjadi era baharu bagi Islam untuk berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat pembebasan daripada segala belenggu, termasuk penjajahan ekonomi, baik kuasa luar, mahupun penjajahan bangsa sendiri” Dr Siddiq Fadzil, Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018 yang juga Presiden Kolej Dar al-hikmah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia