Berita Harian

Skuad berbasikal negara raih 2 perak, 1 gangsa

-

Kuala Lumpur: Skuad berbasikal kebangsaan menghadiah­kan dua pingat perak dan satu gangsa kepada kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, semalam.

Pingat perak dimenangi menerusi gandingan Mohd Khairul Hazwan Wahab dan jurumudi, Mohd Nur Ridzuan Zainal yang turun beraksi dalam acara ITT lelaki (B) selepas mencatat masa 31 minit: 39.844 saat.

Emas acara ini dimenangi atlet Jepun, Kimura Kazuhie (30:25.514s) manakala gangsa milik peserta tuan rumah Herman Halawa (32:03.287s).

Satu lagi perak dimenangi oleh gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nurul Suhada Zainal menerusi acara tandem ITT wanita (B) dengan catatan 30:57.697s. Emas acara ini dimenangi wakil Korea Selatan manakala gangsa Indonesia.

Gangsa tunggal bagi sukan berbasikal negara dimenangi oleh Mohd Najib Turano dalam acara ujian masa individu lelaki C4 selepas mencatat masa 29 minit: 57.243 saat. Emas acara dimenangi atlet China, Guoping Wei (27:57.640s) dan Muhammad Fadli Immamuddin (28:21.835s) dari Indonesia meraih perak.

Hasil kerja keras

Sementara itu, Mohd Nur Ridzuan ketika dihubungi wartawan Sukan NSTP melahirkan rasa syukur kerana dapat menghadiah­kan perak kepada kontinjen Malaysia biarpun menghadapi saingan sengit dari pelumba lain

“Alhamdulil­lah. Hasil kerja keras dan kerjasama baik saya dan Khairul Hazwan berjaya menghadiah­kan pingat perak kepada kontinjen Malaysia,” katanya.

Mohd Najib pula menghadiah­kan pingat pertama untuk kontinjen Malaysia dalam acara berbasikal biarpun diberikan saingan hebat pelumba China dan Indonesia.

“Saya memang meletakkan sasaran peribadi untuk menang emas dalam acara ini, namun apakan daya kerana kaki kiri kembali sakit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia