Malaysia tak berdepan defisit berkembar
Negara dijangka terus nikmati lebihan akaun semasa: Guan Eng
Kerajaan menjangkakan negara akan terus menikmati lebih akaun semasa negara, sekali gus mengelakkan Malaysia berdepan defisit berkembar seperti beberapa negara sedang membangun utama lain seperti Turki, Afrika Selatan, Brazil dan Argentina.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata antara sebab ekonomi Malaysia berdaya tahan ialah keadaan akaun semasanya berbanding negara lain yang mengalami defisit berganda.
Katanya, lebihan akaun semasa negara pada tahun lalu berjumlah RM40.3 bilion atau 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan untuk separuh pertama tahun ini, imbangan dagangan sebanyak RM18.9 bilion atau 2.7 peratus daripada KDNK.
SST pacu pertumbuhan
“Ada pihak bimbang dengan keadaan suku kedua 2018 apabila lebihan akaun semasa lebih rendah, iaitu pada RM3.9 bilion dan imbangan dagangan yang juga rendah pada Ogos lalu, iaitu RM1.6 bilion.
“Namun, lebihan yang rendah ini sebahagian besarnya adalah disebabkan tempoh cuti cukai dari Jun hingga Ogos lalu yang merangsang dan memacu aktiviti import pada Ogos meningkat pada 11.2 peratus untuk tahun ke tahun.
“Dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September, pertumbuhan import akan menyederhana dan meningkatkan imbangan. Malah, jika dilihat kembali prestasi imbangan dagangan berbanding tahun lalu, bulan Februari tahun ini mencatat prestasi terburuk berbanding Ogos.
“Justeru, kerajaan menjangkakan lebihan akaun Malaysia akan terus mengalami lebihan pada tahun ini dan negara dilihat tidak akan terjejas dengan masalah defisit berkembar,” katanya ketika menyampaikan ucapan makan tengah hari sempena Forum Khazanah Megatrends 2018 di Kuala Lumpur, semalam.
Amal perbelanjaan pintar
Dalam pada itu, Guan Eng menjelaskan yang kerajaan ketika ini bukan melaksanakan langkah penjimatan, sebaliknya mengamalkan perbelanjaan pintar dalam bidang tumpuan utama, terutama yang mendorong kepada pertumbuhan mampan jangka panjang yang meningkatkan kebajikan rakyat.
Katanya, Malaysia juga tidak akan melaksanakan pengukuhan fiskal dengan terlalu pantas kerana dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita perlu terus mempelbagaikan ekonomi. Penyatuan fiskal adalah kaedah kepada kemampanan fiskal. Tetapi kemampanan memerlukan tahap pertumbuhan ekonomi yang bersesuaian.
“Di tengahtengah cabaran kepada kewangan awam, kerajaan percaya sektor swasta mesti menjadi peneraju dalam memacu ekonomi ke hadapan.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna kerajaan tidak boleh memainkan peranannya. Kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang mana sektor swasta boleh berkembang dengan subur,” katanya.
Antara sebab ekonomi Malaysia berdaya tahan ialah keadaan akaun semasanya berbanding negara lain yang mengalami defisit berganda” Lim Guan Eng, Menteri Kewangan